Yusry ambil masa 6 Hari siapkan telefilem

0
864
YUSRY mengarah dan berlakon dalam telefilem 6 Hari bersama Lisa Surihani.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JIKA produser lain perlu menunggu izin daripada kerajaan untuk memulakan penggambaran tapi pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim telah memulakan penggambaran sebelum kebenaran.

Meskipun penggambaran yang dilakukan oleh Yusry masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun telefilem 6 Hari, terbitan Yureka Films dengan kerjasama Global Station itu tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Telefilem arahan dan skrip oleh Yusry itu meskipun terikat dengan kekangan dari segi teknikal, bekalan peralatan dan tenaga produksi namun penggambaran berjaya diselesaikan dalam tempoh enam hari saja.

Menariknya dan merupakan norma baharu dalam industri seni tanah air, apabila para pelakon telefilem ini menjalani keseluruhan penggambaran secara sendirian dari kediaman masing-masing.

TELEFILM 6 Hari akan disiarkan pada 13 Jun ini

“Proses pembikinan telefilem ini amat mencabar tetapi saya amat berpuas hati dengan produk akhir karya ini. Secara dasar, telefilem ini mengisahkan tentang dua individu yang terperangkap dalam konflik berkaitan dengan sebutir berlian.

“Tetapi secara tersiratnya, ia tentang pencarian diri dan bagaimana watak-watak tersebut matang seiring dengan peredaran masa. Penceritaan ini terbentuk bukanlah seperti yang saya rancang dari awal. Saya temui makna tersiratnya pada hari ketiga penggambaran. Semakin saya tulis, semakin lapisan tersirat cerita ini keluar sedikit demi sedikit, “ ceritanya yang turut melakonkan watak sebagai Faizal.

Lain-lain pelakon yang menjayakan telefilem 6 Hari ini ialah Lisa Surihani, Datuk Aaron Aziz sebagai Ismail  dan Neelofa melakonkan watak Linda.

Telefilem istimewa ini bakal menemui penonton pada pukul 9 malam, 13 Jun ini di empat saluran utama iaitu Astro Ria (104), Astro Ria HD (124), Astro Citra (108) dan Astro Citra HD (128). Untuk pilihan lebih fleksibel, telefilem ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria dan Astro Ciitra, Emarina Kamal berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan penerbitan telefilem 6 Hari.

Jelas Emarina, karya Yusry itu bakal melakar sejarah dan meletakkan tanda aras tersendiri sebagai permulaan resam baharu dalam bidang hiburan.

“Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam menangani pandemik Covid-19, karya ini berjaya disudahkan  hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat.

“Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Yusry kerana sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa. Kami berharap 6 Hari mampu membuatkan penonton bergelumang dengan mainan emosi yang mendalam,” katanya.

Telefilem 6 Hari mengisahkan tentang Suzi yang bahagia sebagai isteri ketiga kepada Ismail, seorang ahli perniagaan yang berjaya. Suzi tinggal bersendirian di sebuah banglo kerana suaminya hanya akan pulang ke rumah setiap enam hari untuk menghabiskan masa dengan isteri-isterinya yang lain.

LISA Surihani sebagai Suzi yang terpaksa terima kehadiran Faizal.

Kehidupan Suzi berjalan seperti biasa sehingga muncul bekas kekasihnya, Faizal yang juga seorang banduan banduan yang baru dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama lapan tahun.

Suzi yang kini telah berubah menjadi seorang Muslimah tiada pilihan lain dan terpaksa menerima kehadiran Faizal kerana bekas kekasihnya itu telah mengugut untuk memberitau Ismail kisah jenayah mereka.

Dalam masa yang sama, Suzi juga berhubungan dengan kawan baiknya, Linda untuk mendapatkan nasihat dan pandangan dalam usaha menyelesaikan konflik  tersebut.
Untuk mengetahui bagaimana nasib Suzi, jangan lupa menonton telefilem 6 Hari pada Sabtu ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here