KUALA LUMPUR  –– AirAsia melanjutkan tempoh jualan Pas Tanpa Had Cuti-Cuti Malaysia selama dua hari lagi sehingga 15 Jun, 2020 susulan permintaan yang luar biasa.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata sejak dilancarkan pada 11 Jun, lebih 12,000 penerbangan telah ditebus dengan penebusan penerbangan pertama dilakukan pada tujuh minit selepas pas tersebut mula dijual.

“Destinasi utama yang menjadi pilihan ialah Kuching dan Kota Kinabalu selain Tawau, Sibu dan Pulau Pinang, sementara itu setakat ini jumlah penebusan penerbangan tertinggi dibuat bagi Julai dan Ogos,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

AirAsia berkata pas yang ditawarkan pada harga RM399 itu membolehkan pemegangnya menebus penerbangan tanpa had dalam Malaysia ke 16 destinasi untuk tempoh perjalanan sehingga 31 Mac, 2021.

Layari airasia.com/deals untuk membeli pas tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan semangat mereka dalam membantu memacu dan mempercepat pemulihan pelancongan domestik.

“AirAsia berbangga kerana dapat membantu perkembangan ekonomi dengan tambang nilai hebat kami, terutama pada masa yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau juga menasihatkan penumpang supaya mengikuti semua nasihat perjalanan udara baharu, termasuk memakai pelitup hidung dan mulut setiap masa dan membersihkan diri dengan kerap.

Selain itu penumpang juga perlu menggunakan prosedur tanpa sentuhan AirAsia, tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan dan membuat pratempah makanan panas secara dalam talian, katanya.

AirAsia berkata kesihatan dan kesejahteraan penumpang adalah keutamaan syarikat.

Di samping mematuhi nasihat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan, AirAsia juga telah melaksanakan prosedur tanpa sentuhan sepanjang perjalanan dan langkah-langkah keselamatan baharu, serta kemudahan untuk mereka yang berisiko bagi memastikan keselamatan untuk semua.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here