
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
ADA yang sehingga menggelarnya, ‘Mokhtar Dahari Alaf Baharu’!
Secara kebetulan pula dialah lulusan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang dan gemar menyarung jersi bernombor 10.
Siri bayangan awal mengapa julukan itu cocok buat Luqman Hakim Shamsudin terserlah dengan lima jaringannya pada Kejohanan Bawah 16 Tahun AFC 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Dia juga membantu skuad bimbingan Brad Maloney muncul naib juara Kejohanan B18 AFF di Ho Chi Minh, Vietnam, tahun lalu termasuk dua golnya yang menumbangkan Australia 3-0 .
Satu rembatan lambung anak jati Kota Bharu, Kelantan yang sejauh 50 meter ini turut membantu membenam Kemboja 5-4 sebelum barisan remaja negara layak ke pusingan akhir Kejohanan B19 AFC di Uzbekistan, Oktober ini.
Pintar menghidu ruang membolosi gawang dengan gaya rembatan sambil berlari di sebalik susuk tubuh setinggi 1.70 meter, telah memikat sebuah kelab Belgium untuk mengikat kontrak dengannya seperti diumumkan pada 20 September 2019.
Luqman, 18, juga terpilih ke Sukan SEA 2019 di Filipina walaupun skuad Bawah 22 tahun negara gagal ke separuh akhir dan dikejutkan Kemboja 3-1 serta Filipina 1-0 di Manila.

Kelab Bahagian Satu Belgium, KV Kortrijk milik saudagar Malaysia, Tan Sri Vincent Tan ini sudah pun memeterai khidmat penyerang pasukan Liga Perdana 2020, Selangor 2 ini selama lima tahun mulai 2020.
Semalam, sebuah firma perantara berdaftar Persatuan Bola Sepak dan ejen perlawanan berlesen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) – El-Ef Sport pula mengumumkan ikatan dengan bakat muda menarik yang menurut mereka, bakal menggegar Asia ini.
Penandatanganan itu dijangka melancarkan kehadirannya ke KV Kortrijk dalam masa terdekat.
Laman facebook El-Ef Sport melaporkan, “El-Ef Sport dengan sukacitanya mengumumkan pengambilan seorang bakat muda paling menarik yang akan muncul dari Asia, @luqmansham_10 (Luqman Hakim Shamsudin).
“Dia telah muncul dalam Goal.com dan bola sepak Guardian.
”Kami mengalu-alukan untuk bekerjasama dengan Luqman dan menyediakannya dengan suasana yang tepat apabila dia memulakan perjalanan profesionalnya!,” lapor laman sosial firma ejen bola sepak itu.
“Selamat datang Luqman Hakim Shamsudin LS10,” tulis kapsyen laman itu pula.
–BebasNews
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).