UMNO bukan talian hayat mana-mana parti politik

0
1364

Oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

PADA 6 Mac 2019, Wan Saiful, ahli MPT PPBM berkata bahawa gabungan UMNO
PAS tidak akan kekal. Beliau berkata “penyatuan UMNO dan PAS juga tidak nampak
keupayaannya untuk kekal kerana asas perjuangan yang tidak kukuh disebabkan
bermain isu agama dan bangsa yang tidak baik untuk negara”.

https://www.bharian.com.my/berita/politik/2019/03/538081/gabungan-pas-umnotidak-akan-kekal-wan-saiful

Kemudiannya, Wan Saiful bersuara lagi. Kini, beliau seru pula kononnya UMNO mestilah
bersedia berkorban demi mengukuhkan Perikatan Nasional (PN). Seruan ini tidak lain
kerana beliau tahu, hanya UMNO dan PAS yang boleh menyelamatkan PPBM.

Demikianlah pentas politik Malaysia yang dibanjiri dengan mereka yang pelbagai
ragam, karakter dan perspektifnya. Malangnya, bukan dengan cara yang
menguntungkan.

Politik Malaysia sangat memerlukan mereka yang berpandangan jauh, tidak gelojoh
dengan kuasa, menjaga lisan dan selalu mengutamakan misi yang lebih besar. Bukan
‘amatur’ yang pendirian dan pandangannya, sentiasa berubah-ubah mengikut laras
kuasa dan bukannya perjuangan. Malah, pendirian dan prinsip mereka bertukar dan
berubah lebih pantas dari COVID-19 merebak.

Benar, UMNO adalah parti yang sedia berkorban untuk rakan politiknya. Telah
puluhan kali UMNO berkorban memperkuatkan rakan dalam Barisan Nasional (BN).
Memberikan mereka ruang bertanding di kawasan yang paling boleh dimenangi oleh
UMNO. Malah, dalam banyak keadaan, UMNO adalah parti yang sentiasa berkongsi
sumber, tenaga dan kepimpinan untuk memastikan keluarga besar BN bertahan.

Tetapi setelah UMNO tewas dalam PRU14, UMNO dewasa dengan pengalaman.
UMNO kenal benar, siapa lawan dan siapa kawan. UMNO tahu siapa yang bersetia
dengannya dan siapa yang sekadar mencari kehidupan dan keuntungan sahaja dari
UMNO. UMNO sekarang ini memilih hanya untuk berkorban demi agama, bangsa
Melayu dan tanahair. Ini satu-satunya misi UMNO. Jika UMNO mengabaikan misi ini,
orang Melayu dan rakyat Malaysia akan menolaknya. Jadi, UMNO tidak akan
membiarkan dirinya dihukum, sekali lagi.

Yang pasti, UMNO bukan talian hayat untuk menyelamatkan mana-mana parti, atau
mana-mana ahli politik atau mana-mana pemimpin. UMNO adalah talian hayat untuk
orang Melayu.

Jadi, PPBM itu yang harus berkorban dan bekerja untuk membangunkan kekuatannya
sendiri terlebih dahulu sebelum PN boleh dikuatkan. Bukan menuntut pengorbanan
dari UMNO. Untuk menjadi rakan strategik UMNO, PPBM mesti mempunyai kekuatan
tersendiri yang akan menghasilkan manfaat menang-menang kepada UMNO.

UMNO tidak akan berkorban untuk memberi nyawa kepada mereka yang
meninggalkan UMNO semasa parti ini tewas dan terjatuh parah. Kepada mereka ini,
UMNO mungkin memaafkan tetapi tidak akan melupakan. Adalah lebih baik bagi
UMNO menumpukan kekuatan dan tenaganya untuk meyakinkan lebih ramai orang
Melayu menyertai misinya daripada memikirkan hal mereka yang pernah mencemuh,
mencaci dan membenci UMNO.

UMNO bukan untuk sesetengah elit atau mereka yang berasa koridor kuasa adalah
milik mutlaknya. UMNO adalah untuk orang Melayu dan negara Malaysia yang lebih
baik. Tanpa mereka ini, UMNO akan terus hidup. Tetapi, tanpa UMNO, kita tidak pasti
apa masa depan mereka.

UMNO sedar dan insaf, survivalnya adalah pada undi orang Melayu dan bukan
Melayu. Bukan pada kerjasama politik yang bersifat sementara di peringkat yang tidak
pun mewakili keseluruhan parti.

UMNO telah membuka ruang kepada PPBM untuk menyertai misi besarnya. Ini
ajakan yang ikhlas dan tulus. Mungkin sudah tiba masanya, PPBM yang perlu
berkorban demi orang Melayu dengan menyertai UMNO dan bersama-sama
menguatkan BN. Pilihannya jelas. Terpulanglah.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan Naib Presiden UMNO

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here