
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
SKUAD remaja negara diletakkan dalam Balang 3 dengan juara empat kali, Iraq, Vietnam dan Kemboja sekali gus bakal diasingkan dengan ketiga-tiga pasukan itu dalam majlis undian bagi pusingan akhir Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC 2020, esok.
Malaysia akan mengetahui laluannya pada kejohanan di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober ini sama ada perit atau selesa, getir atau saksama apabila diundi dengan 13 lagi pasukan termasuk penyandang gelaran, Arab Saudi.
Berada dalam Balang 3 dan ranking kesembilan kejohanan juga bererti skuad bimbingan Bradley Maloney ini yang layak sebagai juara pusingan kelayakan Kumpulan G, November lalu, akan diletakkan sebagai antara pasukan A3, B3, C3 atau D3.
“Undian akan dijalankan di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil pukul 4.30 petang esok secara tertutup tanpa undangan liputan buat wakil media sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan pandemik maut Covid-19.

“Balang 1 mengandungi Saudi, tuan rumah, Korea Selatan (juara terbanyak 12 kali) dan Qatar. Balang 2 pula memiliki juara 2016, Jepun, Tajikistan, Australia dan tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun, 2021 – Indonesia.
“Pemenang empat kali Kejohanan B19 AFC, Iran, Bahrain selain dua pendatang baharu, Yemen dan Laos berada dalam Balang 4,” lapor siaran media AFC yang die-mel kepada BebasNews hari ini.
Kesemua 16 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan juara dan naib juaranya akan mara ke suku akhir seterusnya empat pemenang peringkat ini yang turut ke separuh akhir, secara automatik akan mewakili benua Asia ke Piala Dunia B20 anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Sekiranya Indonesia yang sudah layak secara automatik sebagai tuan rumah, turut memasuki separuh akhir di Uzbekistan nanti, satu lagi slot (wakil kelima Asia) ke Piala Dunia B20, 2021 akan dibuka semula kepada emp

at pasukan yang kalah dalam suku akhir menerusi tiga perlawanan play-off,” lapor siaran itu lagi.
Skuad Maloney menjuarai kelayakan Kumpulan G di Stadium Olimpik Kebangsaan, Phnom Penh, Kemboja dengan menumpaskan tuan rumah 5-4, Brunei 11-0, Kepulauan Mariana Utara 10-0 dan Thailand 1-0.
Lima gol daripadanya dijaringkan oleh Luqman Hakim Shamsudin, 18, yang menandatangani perjanjian dengan ejen, El-Ef Sports pada 12 Jun lalu untuk melancarkan penampilannya dengan kelab Liga Bahagian Satu Belgium, KV Kortrijk.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Kejohanan B19 AFC ini ialah muncul naib juara pada 1959, 1960 dan 1968 setelah kalah kepada Korea Selatan 2-1 dan 4-0 di Kuala Lumpur serta Burma 4-0 di Seoul.
-BebasNews
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).