MESYUARAT Lembaga Pengarah MFL di Wisma FAM, Kelana Jaya memberikan kelulusan kepada lima daripada tujuh pasukan Liga Malaysia 2020 untuk kembali berlatih dalam PKPP. Ab. Ghani Hassan (dua dari kiri). - Foto MFL

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

HANYA lima daripada tujuh pasukan yang mendapat kelulusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kembali berlatih di bawah Tatacara Pelaksanaan Piawai (SOP) ketat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana wabak Covid-19 setakat hari ini.

Tiga pasukan itu daripada Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan UiTM FC manakala dua lagi pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan dan Selangor 2, kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.

“MFL telah menerima tujuh permohonan untuk kebenaran berlatih tetapi hanya meluluskan lima pasukan. (Kebenaran selebihnya) terpaksa ditangguhkan kerana didapati masih ada dokumen yang belum lengkap,” katanya dalam siaran media hari ini.

Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang menyambung sesi latihannya sejak semua aktiviti termasuk perlawanan ditangguhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL pada 16 Mac lalu.

Empat kriteria utama SOP yang perlu dipatuhi semua pasukan ialah menjalani ujian sapuan atau ‘swab test’, melantik pengawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta menyahkumankan atau sanitasi venue itu.

JDT, pendahulu Liga Super 2020 dan antara lima pasukan yang dibenarkan MFL untuk berlatih dalam Fasa 1 dan SOP yang ketat. – Foto MFL

Menurut syarat lain Majlis Keselamatan Negara (MKN), setiap pasukan juga wajib mematuhi SOP berhubung penjarakan sosial pemain-pemain dengan sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak bermula Isnin lalu.

Ghani turut yakin dengan situasi dan tahap penularan Covid-19 negara yang kian menurun berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan malah menganggap perjalanan ke kehidupan normal semula, sudah semakin positif.

“Saya tidak nampak sebarang masalah jika semua pasukan mengikuti SOP. Statistik kes Covid-19 juga semakin berkurangan, beberapa aktiviti telah dibenarkan jadi perjalanan ke kehidupan normal juga semakin positif,” ujarnya.

Katanya, latihan fasa pertama di bawah PKPP ini akan menjadi penanda aras penting kepada semua pasukan sebelum MFL cuba melanjutkannya kepada fasa kedua iaitu secara bersentuhan badan asalkan semua pasukan bekerjasama mematuhi SOP.

“Ikutilah SOP itu terutamanya untuk kita mengurangkan atau tidak memberi ruang kepada virus Covid-19 selain menunjukkan kepada kerajaan bahawa latihan bola sepak tidak mengalami apa-apa masalah.

“Jika pelaksanaannya dan kerjasama pasukan berjaya dicapai, MFL akan mengemukakan permohonan latihan fasa kedua kepada kerajaan yang bererti latihan dijalankan seperti biasa menjelang Liga Malaysia yang dijangka disambung semula 1 September ini,” jelasnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here