Indonesia buat 2 syif solat Jumaat, ikut nombor telefon bimbit jemaah

0
577
FOTO: Wikimedia Commons/Gunawan Kartapranata / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)

BERI PELUANG… Demi keadilan kepada semua pihak agar setiap orang dapat berpeluang jadi jemaah solat Jumaat, Dewan Masjid Indonesia (DMI) bakal melakukan sistem dua giliran waktu.

Kaedah baharu itu berdasarkan penetapan angka ganjil atau genap pada nombor telefon bimbit milik jemaah di kawasan berkenaan bagi elak perasaan tidak puas hati gagal tunai solat Jumaat.

Menurut laporan stesen penyiaran antarabangsa CNN, perkara itu dinyatakan menerusi surat pekeliling dengan nombor rujukan 05-Khusus /PP-DMI/A/Vl/2020 yang bertarikh 16 Jun 2020.

Ia mula diedarkan pihak DMI kepada kepada pihak pengurusan Takmir Masjid Seluruh Indonesia untuk dilaksanakan oleh setiap jawatankuasa di peringkat wilayah, daerah dan mukim setempat.

Malahan peraturan ini sebenarnya selaras dengan fatwa terbitan Majlis Ulama Indonesia (MUI) melalui memo berhubung panduan solat Jumaat lebih satu kali ketika berdepan wabak Covid-19.

Berdasarkan makluman DMI, untuk elak ada ramai jemaah solat di jalan raya depan masjid, dua giliran dibuat iaitu kumpulan pertama pada pukul 12 tengah hari dan berikutnya pula 1 petang.

Penetapan itu mengikut angka terakhir pada nombor telefon bimbit setiap jemaah dengan ganjil dapat bersolat pada kumpulan pertama manakala genap melakukannya dalam kumpulan kedua.

Kaedah ini namun tetap ikut tarikh hari Jumaat tersebut iaitu jika 19 Jun, jemaah dengan angka ganjil akan jadi kumpulan pertama, manakala pada 26 Jun depan bagi yang angka genap pula.

Peraturan unik berkenaan bagaimanapun berbeza untuk masjid yang terdapat dalam bangunan pejabat atau kompleks beli-belah besar kerana jemaahnya diatur berdasarkan susunan tingkat.

“Sebagai contoh, jika pencakar langit itu ada 20 tingkat, maka giliran pertama ialah mereka yang bekerja di aras 1 hingga 10 dan giliran berikut untuk aras 11 hingga 20,” jelas kenyataan DMI.

Pelaksanaan solat Jumaat dua peringkat itu sebenarnya sudah lama dilakukan di masjid terletak di bandar besar ekoran peraturan jarak satu meter antara jemaah bagi elak jangkitan Covid-19.

Ia dibuat susulan banyak pihak tidak berpuasa hati apabila ada jemaah yang sama sahaja diberi peluang solat Jumaat setiap minggu tetapi ramai tidak bernasib baik gagal berbuat demikian.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here