Maloney perlukan Luqman ke Uzbekistan

0
557
BRADLEY Maloney (kanan) sebagai penolong Ong Kim Swee dalam skuad B22 negara yang gagal ke separuh akhir Sukan SEA Filipina 2019. - Foto FAM

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

BRADLEY Maloney mengakui, ‘Budak Ajaib’ Luqman Hakim Shamsudin pasti berada dalam perancangannya bagi menghadapi pusingan akhir Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) di Uzbekistan.

“Buat masa ini memang ya (menyenaraikan penyerang pasukan Liga Perdana Selangor 2 itu),” kata ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun Malaysia, menjelang kejohanan dari 14 hingga 31 Oktober ini.

Lulusan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari ini dijangka berlepas ke sana sebaik sahaja mendapat lampu hijau kerajaan yang masih melarang rakyat keluar negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana Covid-19.

Walau bagaimanapun Maloney tidak dapat mengulas mengenai status Luqman akan datang sekiranya anak jati Kota Bharu, Kelantan itu mengesahkan tempatnya di kelab Liga Bahagian Satu Belgium, KV Kortrijk.

“Yang setahu saya, dia kini masih dengan Selangor 2 (dulunya PKNS FC),” kata jurulatih kelahiran Australia itu kepada BebasNews hari ini.

Luqman mula mendapat perhatian ramai sejak menyumbat lima gol pada Kejohanan Bawah 16 Tahun AFC 2018 di Bukit Jalil selain membantu Harimau Remaja muncul naib juara Kejohanan B18 AFF di Ho Chi Minh, Vietnam, tahun lalu.

Satu rembatan lambungnya yang sejauh 50 meter turut membantu membenam Kemboja 5-4 sebelum barisan remaja negara layak ke pusingan akhir Kejohanan B19 AFC selaku juara Kumpulan G kelayakan di Phnom Penh.

Kata Maloney, selain himpunan pemain bimbingannya tahun lalu, senarai pelatih bagi menghadapi Kejohanan B19 AFC ini bakal diperluaskan kepada antara 45 hingga 50 orang sekalipun medan pencariannya terjejas kerana Piala Belia telah dibatalkan.

Slot pusingan akhir Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Indonesia 2021, menanti empat pasukan terbaik di Uzbekistan dengan cabaran awal Kumpulan D menanti Malaysia yang diundi dengan juara 2014, Qatar, Tajikistan dan Yemen.

Mengenai undian itu kata Maloney dalam laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam, “tiada pasukan mudah dalam kejohanan ini. Setiap pasukannya layak atas merit masing-masing tetapi undian yang agak adil bagi Malaysia.

“Harap kami dapat buat persediaan rapi menghadapinya dan berikan aksi terbaik. Tiada siapa pasukan yang dianggap pilihan (Kumpulan D) kerana kadangkala pasukan yang dirasakan tidak kuat pun boleh mencapai kejayaan,” katanya.

Dia hanya berpendapat bahawa anak-anak buahnya mampu mara sejauh mungkin dengan aksi terbaik dan persediaan rapi mereka namun enggan meletakkan sasaran khusus sekalipun menyedari tiket Piala Dunia B20 yang dipertaruhkan di Uzbekistan.

“Semua pasukan terjejas (dengan Covid-19). Saya cuma harap kami dapat berlatih secepat mungkin dan sudah tentu kena mematuhi SOP (tatacara pelaksanaan piawai) sesi latihan.

“Lambat laun kami kena mula berlatih namun kesihatan dan keselamatan sentiasa diutamakan.

“Ada dua pelan bagi siri perlawanan persahabatan untuk pasukan kita sebaik sahaja dapat memuktamadkan di mana kami perlu bermula dan boleh ke luar negara.

“Saya harap kami ada masa yang cukup untuk buat persediaan rapi itu dan menyesuaikan diri dengan keadaan di Uzbekistan,” katanya yang turut pernah membantu Datuk Ong Kim Swee mengendalikan skuad Bawah 22 Tahun Sukan SEA Filipina 2019.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here