Dua beranak maut, 3 ahli keluarga parah selepas kereta jatuh parit

0
709
FOTO: PDRM.

KEPALA BATAS — Dua beranak maut, manakala 3 lagi ahli keluarga mereka cedera parah selepas kereta jenis Proton Exora yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit sedalam 4m dalam kemalangan di KM119 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, di Bertam, di sini, malam tadi.

Pemandu kereta, Muhammad Ruszamil Mohd Fazil, 20, dan ibunya, Rusnah Osman, 60, penumpang di bahagian belakang maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kemalangan kira-kira 10.45 malam itu, 2 lagi anak Rusnah, Mohd Fairus, 36, dan Muhammad Faizul, 30, serta cucu wanita itu, Muhammad Faizureen Abdul Muhaimin, 2, cedera parah.

“Berdasarkan siasatan awal, keluarga itu dari Taiping, Perak dan dalam perjalanan ke Sungai Petani, Kedah untuk menziarah ahli keluarga mereka di sana dan sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.

“Kereta itu kemudiannya terjatuh ke dalam parit besar sedalam 4m sebelum semua 5 penumpang kenderaan tersebut terperangkap dan 2 daripada mereka berjaya diselamatkan pengguna jalan raya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan 3 mangsa yang tersepit dalam kereta itu.

“Fairus yang cedera parah di kaki serta tangan dan anak saudaranya, Faizureen menerima rawatan di Hospital Kepala Batas, manakala seorang lagi Faizul cedera di kaki dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah.”

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kemalangan itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Bernama

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here