FDAM, Profima dan Seniman perlu bersatu demi ahli – Rashid Sibir

0
754
RASHID Sibir bersama kru penerbitan drama bersiri “Bidadari Kiriman Tuhan” yang sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETELAH hampir tiga bulan segala aktiviti seni terutama penggambaran drama dilarang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 28 Mac lalu bagi menyekat penularan pandemik Covid-19, kini para karyawan seni boleh menarik nafas lega.

Sebabnya bermula 10 Jun lalu melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan telah membenarkan penggambaran filem, drama dan iklan dijalankan dengan mematahui Prosedur Operasi Standard (SOP) antaranya penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan tiada sentuhan.

Walaupun kebenaran yang diberikan memberi nafas lega kepada karyawan seni, tetapi bagi pengarah prolifik, Rashid Sibir, ia tidak boleh diambil mudah atas apa yang terjadi sebelum ini.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan membenarkan kami meneruskan kerja kami, tetapi pada waktu yang sama disamping mematuhi SOP kita harus menjadikan iktibar atas apa yang berlaku.

SEBELUM masuk ke set penggambaran “Bidadari Kiriman Tuhan” kru penerbitan memeriksa suhu badan pelakon, Ruzaidi Abdul Rahman.

“Hampir tiga bulan kita tidak bekerja dan ia menjejaskan kehidupan orang seni namun sejak PKPP kita diberi kebenaran shooting tetapi kita harus bersiap sedia menghadapi apa juga kemungkinan yang akan terjadi yang boleh menjejaskan sumber pendapatan kita.

“Semasa PKP dan PKPB ada pekerja di belakang tabir dihalau dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa kerana sumber mereka hanya bekerja di belakang tabir.

“Waktu itu, kami cuba meminta kebenaran bekerja kerana kami bukanlah golongan yang suka meminta-minta bantuan kerajaan tetapi kami faham apa yang kerajaan lakukan adalah untuk kebaikan semua,” kata Rashid Sibir yang kini sibuk meneruskan pengarahan drama 25 episod “Bidadari Kiriman Tuhan.”

Berlandaskan apa yang terjadi sepanjang PKP dan PKPB beliau mencadangkan persatuan bersatu demi kelangsungan hidup kru penerbitan dan artis jika berlaku apa jua musibah.

“Sama ada FDAM (Persatuan Pengarah Filem Malaysia), Profima (Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia) dan Seniman (Persatuan Seniman Malaysia) harus bersatu menjaga kebajikan ahlinya.

“Tugas persatuan bukan setakat mengambil yuran tahunan daripada ahli tetapi harus membantu mendapatkan pekerjaan dan persatuan haruslah memberitahu setiap ahli agar membuat caruman sendiri di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.

“Kita janganlah berangan kononnya ada syarikat penerbitan yang akan membayar KWSP dan PERKESO untuk kita. Apa yang penting setiap kali kita mendapat tawaran pekerjaan asingkan sejumlah wang untuk masa depan kita dan itulah yang saya amalkan sejak mula mengarah pada awal 1990-an,” kata Rashid Sibir.

Menurut Rashid, semasa Opera Klasik mendapat banyak tawaran menerbitkan drama untuk Astro, beliau membayar KWSP untuk 20 orang pekerjanya.

“Tetapi apabila projek tak ada sejak lima tahun lalu, semua pekerja saya diberhentikan,” kata Rashid.

RASHID SIBIR.

Dalam norma kehidupan dan suasana kerja yang baharu, beliau mengesyorkan agar dipraktikan undang-undang dan peraturan baru dalam etika kerja mereka yang terlibat dalam dunia seni.

“Sebagai pengarah kebanyakan daripada kami mempunyai latarbelakang pendidikan dan kelulusan yang sesuai dengan tugas kami dan saya berharap kru dan artis sekurang-kurangnya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mana mereka boleh membaca dan menulis.

“Disamping itu saya berharap dengan kerjasama FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) sebelum penggambaran boleh diadakan kursus sehari untuk kru mengenai etika kerja kerana ini amat penting untuk memastikan ketrampilan mereka kemas dan menarik dan tidak dipandang rendah oleh masyarakat.

Beliau juga menasihatkan setiap kru dan artis membeli insurans setiap kali terlibat dalam penggambaran drama atau filem.

“Bukan mahal sangat insurans diri kita. Hanya RM30 dan anda akan mendapat perlindungan berjumlah RM150,000. Tiada siapa yang akan jaga diri kita melainkan kita sendiri,” kata Rashid.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here