Panggung wayang dibenarkan mulai 1 Julai

0
560
FOTO: Wikimedia Commons/I, Sailko / Public domain

PUTRAJAYA — Kerajaan membenarkan panggung wayang kembali beroperasi bermula 1 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaacob mengumumkan perkara itu selepas tatacara operasi standard berkaitan dipersetujui mesyuarat khas menteri.

Ismail menjelaskan jumlah pengguna pada satu masa tidak boleh melebihi 250 orang dengan penjarakkan sosial 1m.

“Kalau dewan tidak mampu menampung jumlah 250 orang apabila penjarakkan 1 meter dilakukan, jumlahnya perlu dihadkan mengikut keluasan dewan…kalau boleh had 100 orang, ia perlu dihadkan kepada jumlah itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kebenaran juga diberikan kepada teater dan acara langsung dalam ruang tertutup, juga dengan peraturan sama.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan juga membenarkan aktiviti riadah di kolam renang bermula 1 Julai.

Kebenaran ini bagi kolam renang awam dan di hotel, pangsapuri, komuniti berpagar, dan kolam persendirian.

Menteri menjelaskan pra-syarat bagi pembukaan kolam renang adalah menugaskan individu untuk memantau keselamatan, jumlah pengguna, dan masa operasi.

Jumlah pengguna yang dibenarkan mengikut keluasan kolam, dan perlu mematuhi penjarakkan sosial 3m semasa dalam air.

“SOP lain termasuklah perlu mandi sebelum dan selepas memasuki kolam,” katanya.

Ismail berkata kanak-kanak tidak dilarang menggunakan kolam renang tetapi tidak digalakkan.

“Taman tema air masih tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan juga membenarkan aktiviti mesyuarat, persidangan dan seminar, dengan jumlah peserta yang dibenarkan tidak melebihi 250 orang.

Warganegara Malaysia dengan pasangan asing

Ismail berkata, warga asing yang berkahwin dengan warganegara Malaysia dibenarkan datang ke negara ini untuk menemui pasangan mereka.

Katanya, kebenaran itu turut diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara untuk menemui ibu bapa mereka di Malaysia.

Tetapi, beliau berkata, mereka perlu membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen terlebih dahulu.

“Saya nasihat jangan terus terbang balik sebelum mendapat kelulusan sebab sebelum ini saya ada dapat laporan bila mereka sampai di lapangan terbang kita, mereka tak boleh masuk sebab tidak mendapat kebenaran.

“Untuk mengelak berlaku kesusahan kepada mereka, mereka perlu mohon kebenaran dulu, baru beli tiket balik.”

Kapasiti jemaah di masjid

Ismail berkata, jumlah jemaah untuk solat berjemaah dikekalkan 1/3 daripada keluasan masjid.

“Untuk kapasiti berskala besar, saya percaya menteri agama akan mengkajinya dari semasa ke semasa. Setakat ini, kita kekal dengan 1/3 jemaah dalam satu-satu masa.”

https://bit.ly/3droITv
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here