Kota Bola Sepak Sultan Ahmad Shah jangan abaikan jasa Tunku Abdul Rahman

0
467
MAJLIS pertukaran dokumen pembinaan Kota Bola Sepak Sultan Ahmad Shah antara Kementerian Wilayah Persekutuan, FAM dan AFC di Putrajaya, 16 Jun lalu. - Foto FAM
Oleh Abdul Hafiz Ahmad

 

SEJARAH awal bola sepak Malaysia atau Malaya banyak berkaitan dengan Bapa Kemerdekaan Negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Mantan Perdana Menteri pertama itulah yang memimpin Persatuan Bola Sepak Malaya/Malaysia (FAM) dari 1951 hingga 1975 – turut ‘memerdekakan’ jawatan itu daripada penguasaan sembilan ‘Mat Saleh’.

Selain menerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1958 hingga 1976, Almarhum juga pernah bergelar Menteri Belia dan Sukan dari 1964 hingga 1966.

Justeru di samping hasrat menamakan prasarana baharu bola sepak di Presint 5 Putrajaya sebagai Kota Bola Sepak Sultan Ahmad Shah nanti, janganlah dilupakan jasa besar Tunku yang tercatat dengan tinta emas kejayaan pasukan negara.

Di bawah kepemimpinan siapa, lahirnya Pestabola Merdeka pada 1957 – sebuah kejohanan bola sepak jemputan antarabangsa yang ibarat ‘Piala Asia Mini’?

Bagaimana dengan dua pingat pingat gangsa Sukan Asia 1962 dan 1974 serta pingat emas Sukan SEAP 1961 dibawa pulang dari Jakarta, Tehran dan Rangoon mahupun penampilan sulung skuad Allahyarham Jalil Che Din dalam Sukan Olimpik Munich 1972?

Pada 16 Jun lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan hasrat penamaan Kota Bola Sepak bernilai RM500 juta itu sebagai penghargaan kepada ilham dan daya usaha Almarhum Sultan Ahmad Shah, mantan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014.

ANNUAR Musa (dua dari kiri) menunjukkan lakaran Wisma FAM yang baharu dalam Kota Bola Sepak Sultan Ahmad Shah, Presint 5, Putrajaya yang dijangka siap 2023. – Foto FAM

“Idea itu dikemukakan Almarhum ketika saya Timbalan Presiden FAM dan dipermudahkan kerana Tuanku mengambil berat, memberikan tanah dan sebagainya. Jadi wajarlah untuk menamakannya sebagai ‘Kota Bola Sepak Sultan Ahmad Shah’ kerana baginda aktivitis sukan negara yang unggul,” katanya.

Annuar dilaporkan Bernama, akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, esok bagi mendapatkan perkenan bagi penggunaan nama rasmi Almarhum ayahandanya itu.

Kota Bola Sepak Sultan Ahmad Shah ini terletak di tanah seluas 17.17 hektar turut mengandungi sebuah stadium bola sepak yang bermuatan 10,000 orang selain pusat latihan skuad kebangsaan (termasuk peringkat umur) kendalian FAM ini dijangka siap pada 2023.

Di antara banyak kemudahan ini, diharap janganlah dipinggirkan dua lagi mantan Presiden FAM, Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri kedua) dari 1975 hingga 1976 dan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah (bekas menteri Kabinet) dari 1976 hingga 1984 untuk turut diabadikan nama mereka.

Piala Razak pernah dianjurkan FAM sebagai pertandingan bawah 19 tahun yang menggantikan Piala Burnley (kini juga dijenamakan semula sebagai Piala Belia) manakala kepemimpinan Hamzah menyaksikan dua pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979 serta kemaraan pasukan negara ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Seperti mana Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang memiliki Muzium Sukan dan Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame), wujudkan juga satu ruang khas di Kota Bola Sepak Sultan Ahmad Shah nant yang bergelar ‘Arena Terbilang Bola Sepak Malaysia’.

Himpunkan segala aneka artifak, memorabilia dan bahan arkib koleksi FAM, AFF, AFC mahupun koleksi peribadi bekas pemain negara atau pihak ketiga (media dan umum) untuk tatapan para peminat bola sepak tanah air malah luar negara.

Siapa lagi yang lebih berhak untuk ditujukan penghargaannya jika bukan wira-wira silam padang dari era 50-an hingga alaf baharu?

Antaranya Edwin Dutton, Yusoff Bakar, Sexton Lourdes, Abdullah Yeop Noordin, M. Govindarajoo, Jalil Che Din, Arthur Koh, Robert Choe, M. Kuppan, Abdul Ghani Minhat, Wong Kam Fook, M. Chandran, Namat Abdullah, Salleh Ibrahim, Wan Zawawi Wan Yusoff, Shaharudin Abdullah, Mohamad Bakar, Wong Choon Wah dan Chow Chee Keong.

Lain-lain termasuk Mokhtar Dahari, Harun Jusoh, Soh Chin Aun, R. Arumugam, Santokh Singh, Jamal Nasir, Shukor Salleh, Bakri Ibni, Khalid Ali, James Wong, Hassan Sani, Rashid Hasan, Serbegeth Singh, Ahmad Yusoff, Lim Teong Kim, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan Radhi Mat Din.

Tidak ketinggalan ialah anggota skuad juara Piala AFF 2010 seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Mohd. Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali dan Ashari Samsudin mahupun jurulatihnya, K. Rajagobal.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here