Mansuh duti kereta import selama 6 bulan, seru ahli ekonomi

0
472
FOTO: Wikimedia Commons/Bindydad123 / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

SEORANG ahli ekonomi mencadangkan duti kereta import dimansuhkan selama 6 bulan sebagai percubaan ke arah menamatkan langkah-langkah perlindungan industri motor.

Barjoyai Bardai berkata Malaysia akhirnya perlu menamatkan semua bentuk perlindungan industri.

Dalam struktur cukai sedia ada, kereta penumpang dikenakan duti import, duti eksais, dan cukai jualan. Syarikat pembuatan kereta Malaysia seperti Proton dan Perodua juga dikenakan duti eksais dan cukai jualan.

Tiada duti import bagi kereta dari negara yang menjadi sebahagian daripada perjanjian dagangan bebas Asean, manakala kereta dari negara yang diberi status Layanan Negara Terbaik dikenakan duti import 30% bagi kereta pasang siap dan 10% bagi kereta yang dipasang dalam negara.

Duti eksais antara 75% hingga 105% bergantung kepada kapasiti enjin.

Bagaimanapun, difahamkan penggunaan lebih banyak komponen tempatan membolehkan Proton dan Perodua mendapat lebih banyak rebat duti eksais.

Barjoyai berkata sekarang masanya untuk “menguji” impak memansuhkan semua halangan ketika kerajaan berusaha merangsang ekonomi.

“Walaupun ramai pengguna tidak berminat untuk membeli kereta baru sekarang kecuali atas keperluan mendesak, pengecualian 6 bulan boleh memberi kefahaman mengenai impak memansuhkan duti import dan eksais ke atas hasil kerajaan dan industri automotif.”

Beliau berkata Proton dan Perodua tidak lagi perlu perlindungan kerajaan kerana mereka sudah mantap dan mempunyai rakan antarabangsa yang kuat seperti Geely dan Daihatsu.

“Mereka juga sudah perbaiki kualiti kenderaan mereka.”

Pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 50% dan 100% bagi kereta baru dalam pelan pemulihan ekonomi Penjana tidak banyak membantu kerana ia hanya mengurangkan harga kereta sebanyak kira-kira 5%, kata Barjoyai.

Proton, Perodua perlu perlindungan?

Laurence Todd, pengarah penyelidikan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata mengikut sejarah, duti itu yang menyumbang kepada harga lebih tinggi bagi pengguna dikenakan untuk melindungi industri tempatan.

“Bagaimanapun, Proton dan Perodua sudah wujud selama berdekad lama, dan jika mereka masih tidak boleh bersaing dengan import, jadi kita patut tanya apakah itu akan terjadi?”

Todd berkata negara dengan industri kereta yang kuat juga mendedahkan produk tempatan kepada disiplin persaingan di pasaran global, seperti Korea Selatan.

“Sokongan daripada kerajaan tertakluk kepada syarat prestasi eksport yang kuat, yang menyaksikan sebilangan jaguh prospektif berkurangan kepada beberapa syarikat yang benar-benar bersaing.”

Todd berkata insentif Penjana langkah jangka pendek untuk merangsang penggunaan tetapi tidak menangani hal daya saing industri automotif Malaysia.

“Bagi jangka masa lebih panjang, Malaysia harus tumpu kepada mengalakkan industri yang menunjukkan daya saing di luar negara, dan di mana ada campurtangan kerajaan, ia harus dilakukan atas dasar strategi jelas yang melibatkan suatu bentuk disiplin pasaran.”

Mengenai pengilangan kereta, disiplin pasaran itu akan mendedahkan pengilang kepada persaingan, sama ada daripada import dan pengurangan sokongan kerajaan jika firma itu tidak berjaya di pasaran eksport.

“Jika tidak kita akan menyebabkan harga terus naik tanpa manfaat ekonomi jangka masa panjang.”

Kebergantungan vendor, pekerjaan

Bagaimanapun, Ahli ekonomi Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata industri automotif tempatan amat perlukan perlindungan sekarang ini.

“Jualan kereta baru mungkin sekali akan berkurangan, memandangkan kehilangan pekerjaan ketika ini, tetapi jualan kereta terpakai mungkin tidak terjejas seteruk itu,” kata ketua penyelidikan MIER itu.

“Industri auto tempatan terbina atas asas fahaman perlindungan, sekarang bukan masanya untuk menarik balik perlindungan itu memandangkan ramai vendor dan pekerjaan bergantung pada perlindungan itu.”

Namun Nambiar berkata langkah perlindungan menonjolkan ketakcekapan dalam industri itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/06/23/mansuh-duti-kereta-import-selama-6-bulan-seru-ahli-ekonomi/
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here