9 pesakit sembuh atasi 3 kes baru Covid-19

0
390

PUTRAJAYA — Tiga kes baru Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 9 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 121 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 3 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), tetapi tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,590 kes Covid-19 dengan 8,186 daripadanya sudah sembuh.

Kini, 283 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara.

Hisham berkata, 3 kes baru itu ialah jangkitan tempatan yang membabitkan 1 warganegara dan 2 warga asing.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dilaporkan hari ini.”

Beliau berkata, seorang daripada warga asing itu datang daripada kluster Pedas di Negeri Sembilan, manakala 2 lagi kes ialah kluster meninggal di rumah (MDR) di Sabah.

Dua pesakit itu yang masing-masing ialah seorang warganegara dan warga asing yang merupakan ahli keluarga kes ke-8,506.

Kes MDR itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 96 tahun yang meninggal dunia di rumah akibat komplikasi sakit jantung pada 12 Jun lalu.

Kluster persidangan gereja di Kuching

Hisham berkata, kluster persidangan gereja di Kuching tamat selepas tempoh pemantauan 29 hari berakhir tanpa sebarang kes baru dilaporkan.

Kluster itu dikesan pada 15 Mac lalu, 3 hari sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, dengan 191 kes positif dan 3 kematian dicatatkan daripada kluster ini.

“Kluster ini melibatkan 5 generasi dari pelbagai kawasan di Sarawak.”

Buka semula sekolah

Hisham memberi jaminan pembukaan semula sekolah untuk pelajar yang menduduki peperiksaan utama esok tertakluk kepada pematuhan ketat prosedur operasi standard dan garis panduan disediakan Kementerian Kesihatan.

Ia termasuk pemeriksaan suhu di pintu masuk sekolah, penjarakan sosial, cuci tangan dengan kerap dan waktu rehat secara berperingkat.

“Justeru, pelajar yang akan kembali ke sekolah lebih yakin berbuat demikian tanpa sebarang keraguan dan kerisauan.

“Ibu bapa juga diingatkan memastikan anak-anak sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Kerjasama ibu bapa, pelajar dan kakitangan sekolah amat penting bagi memastikan tidak berlakunya penularan Covid-19 di sekolah.”

Beliau berkata, statistik Covid-19 tempatan menunjukkan kes membabitkan remaja berusia 16 hingga 18 tahun mempunyai kadar penyembuhan lebih baik.

Katanya, terdapat 346 kes positif dalam lingkungan umur itu, tetapi tiada kematian atau kes yang dirawat di ICU.

https://bit.ly/2VcoE41
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here