Saudi cuma benar 1,000 jemaah tunai haji tahun ini

0
636
FOTO: Wikimedia Commons/Fadi El Binni of Al Jazeera English / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)

MUKTAMAD… Arab Saudi umum ibadah haji tahun ini dengan bilangan terhad, semalam ia mengesahkan hanya 1,000 jemaah dibenarkan menunaikan rukun Islam itu.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kesihatannya, Dr. Tawfiq Al-Rabiah dalam sidang media khas di Riyadh sebagai mengulas kenyataan dibuat Kementerian Haji dan Umrah pada kelmarin.

Jumlah itu meliputi warga Arab Saudi dan rakyat asing yang menetap di negara tersebut susulan usaha serius kerajaan bagi bendung penularan wabak maut Covid-19 dalam kalangan jemaah.

“Pihak kementerian buat penilaian ini berdasarkan pengalaman urus jemaah pada tahun lalu selain ambil kira keupayaan tenaga manusia dan kapasiti peralatan rawatan,” kata Dr. Tawfiq.

Beliau memaklumkan bahawa hanya jemaah berumur bawah 65 tahun dan tidak hidap sebarang penyakit kronik serta bakal melalui ujian saringan amat ketat sebelum tiba di kota suci Makkah.

Mereka juga dikehendaki jalani kuarantin sendiri di dalam rumah selepas balik daripada selesai menunaikan ibadah itu bagi elak jangkitan virus korona tersebut kepada masyarakat sekeliling.

Dr. Tawfiq namun tidak menjelaskan bagaimana proses pemilihan jemaah haji kali ini dilakukan tetapi berkata, kerajaan Arab Saudi bekerjasama dengan pelbagai misi perwakilan diplomatik.

Pihak kedutaan terbabit diberi tanggungjawab untuk pilih sendiri rakyat mereka yang memang tinggal di Arab Saudi sama ada bekerja atau belajar dan memenuhi kriteria kesihatan ditetapkan.

Dalam pada itu, Menteri Haji dan Umrah, Mohammad Saleh Bentin mengesahkan jumlah jemaah tersebut malah berkata: “Ia kira-kira 1,000 jemaah, mungkin agak kurang, mungkin lebih sedikit.”

Bilangannya ujar beliau, tidak akan jadi puluhan atau ratusan ribu jemaah, dan jelas jauh lebih rendah berbanding sejumlah 2.5 juta jemaah yang menunaikan ibadah haji itu pada tahun lalu.

Keputusan untuk tidak terima kemasukan jemaah dari luar Arab Saudi adalah yang kali pertama dalam sejarah moden negara itu apabila dibentuk pada 1932 hasil gabungan beberapa wilayah.

Bagaimanapun, menurut laporan Yayasan Penyelidikan dan Arkib Raja Abdul Aziz di Riyadh, ibadah tahunan itu pernah dibatalkan 40 kali sejak kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 632.

Ia dicatatkan antara tahun 865 sehingga 1987 apabila Masjidil Haram di Makkah ditutup kepada jemaah haji atas pelbagai faktor termasuk peperangan, kebakaran, penyakit dan banjir besar.

Bahkan sekitar abad ke-19, umat Islam dari seluruh dunia dilarang tunaikan ibadah itu selama empat tahun bermula 1837 selain pada 1846, 1850, 1865 dan 1883 ekoran penularan kes taun.

Ketika ini Arab Saudi berdepan peningkatan ketara jangkitan Covid-19 yang cecah lebih 164,000 kes iaitu tertinggi dalam kalangan negara Teluk, dengan merekodkan hampir 1,350 kematian.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here