Drama hebat tidak perlukan babak bersentuhan – Rashid Sibir

0
563
SEBELUM memasukki set penggambaran suhu badan Rashid Sibir diperiksa terlebih dahulu.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

APABILA kerajaan membenarkan penggambaran drama, filem dan iklan bermula 10 Jun lalu dengan salah satu SOP tidak boleh bersentuhan, ada di kalangan peminat drama membayangkan bagaimanalah agaknya drama setelah PKP dan PKPB.

Namun bagi pengarah prolifik, Rashid Sibir, SOP (Prosedur Operasi Standard) bukanlah sesuatu yang membebankan untuk menghasilkan sebuah drama bermutu dan menarik para peminat menonton dramanya setelah berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Sebaliknya, pengarah yang sedang sibuk menyambung tugasnya di lokasi penggambaran drama 25 episod “Bidadari Kiriman Tuhan” (BKT) telah mengamalkan salah satu SOP itu sejak tahun 2018 lagi.

“Apabila PKP dikuatkuasakan, BKT telah menjalani penggambaran sebulan bermula pertengahan Februari dan sepatutnya selesai pada akhir April kerana tarikh tayangannya di astro RIA dijangkakan pada awal Jun.

“Bagaimanapun saya akur dengan PKP dan walaupun ada terdengar cakap-cakap para peminat bagaimana drama dengan SOP yang mana tidak boleh bersentuhan, penjarakan sosial dan memakai pelitup muka, bagi saya itu bukanlah satu masalah besar.

“Sebenarnya saya sudah mempraktikkan drama tanpa bersentuhan walaupun dalam babak suami isteri, sejak tahun 2018 ketika mengarah drama “Lelaki Kiriman Tuhan” (LKT) terbitan Zeel Production.

“LKT sebanyak 18 episod yang disiarkan di Astro Oasis bermula 1 Oktober 2018 dan berakhir pada 18 Januari 2019, adalah sebuah drama yang mempraktikkan nilai-nilai murni dan islamik tanpa sentuhan.

PENJARAKAN sosial…pelakon, kameraman dan penolong pengarah pastikan jarak mereka 1 meter.

“Sebenarnya BKT yang telah memulakan penggambaran sebelum PKP, memang tiada babak bersentuhan walaupun ketika anak bersalaman dengan ibu mereka.

“Namun saya yakin BKT pasti akan membuatkan penonton tidak akan merasakan kekurangannya kerana bukan sahaja jalan ceritanya yang menarik malah para pelakonnya memang diminati ramai,” kata Rashid yang juga penerbit drama ini.

Menurut Rashid, mematuhi SOP selain tidak bersentuhan, kru dan artis juga mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

Bagaimanapun ketika penggambaran artis tidak memakai pelitup muka dan jarak kamera dari artis boleh sejauh 200 meter dan yang pasti ia tidak menjejaskan mood artis dalam setiap babak kerana setiap kamera mempunyai lensa zoom.

Bukan itu sahaja, malah peralatan mekap untuk setiap artis juga berlainan dan makan untuk kru dan artis juga disediakan secara ‘packing’ setiap seorang dan tidak lagi berkonsepkan bufet.

Cikgu Yusof dan Cikgu Manis (Mira Filzah) dalam satu babak “Bidadari Kiriman Tuhan.”

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar kerana lokasi penggambaran bukan di zon merah dan insyaa-Allah penggambaran akan selesai pada akhir Julai,” kata Rashid mengenai lokasi drama berkenaan di Ijok, Kuala Selangor, Tasik Puteri dan Kuala Lumpur.

Namun menurut Rashid, sebagai penerbit masalah yang beliau dan juga penerbit lain hadapi dari segi bayaran pihak stesyen TV yang rendah dan pelakon sekarang yang meletakkan harga mereka sendiri.

“Saya berharap sangat Ketua Pengawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang baharu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dapat membantu kami dalam masalah ini agar pihak stesyen TV boleh menaikkan bayaran drama bersiri dan Cerekarama dan pelakon tidak boleh menentukan bayaran mereka.

“Sejak tahun 1980-an sehingga hari ini pihak stesyen TV membayar kami dengan bayaran yang sama. Bukan itu sahaja, jika dahulu pengarah yang menentukan pelakon yang sesuai tetapi kini TV yang tentukan.

Ibu Manis dan Manja, Maria (Zarina Zainuddin) dan Nenek (Ruminah Sidek)

“Bayangkan dengan bayaran hanya RM90,000 untuk slot Cerekarama atau telefilem dan pelakon utama lelaki yang demand sehingga RM20,000 akhirnya setelah tunggu berbulan-bulan bayaran, penerbit hanya mendapat untung tidak sampai RM9,000!”

Menurut Rashid, sebagai penerbit beliau bukanlah mahu menindas pelakon tetapi sejak 30 tahun lalu bayaran artis semakin meningkat sayangnya kru produksi dan kru teknikal masih ditakuk lama.

Apa yang diharapkan oleh penerbit setelah Menteri Penerangan dan kini Menteri Komunikasi dan Multimedia silih berganti royalti yang diperjuangkan sejak zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee akan menjadi kenyataan.

Bidadari Kiriman Tuhan terbitan Opera Klasik adalah idea asal Rashid Sibir dilakonkan oleh Zul Ariffin (Cikgu Yusof), Mira Filzah (kembar seiras – Manis dan Manja), Fauziah Nawi (Kalsom), Zarina Zainuddin (Maria, emak Manis dan Manja), Ruminah Sidek (Nenek, emak Maria), Ruzaidi Abdul Rahman (Pak Seman), Adlin Aman Ramli (Ikram) dan Maisarah (Suria) membawa kisah kasih sayang tanpa sempadan antara adik beradik kembar dan kasih yang tidak kesampaian.

WALAUPUN Manja (adik kembar Manis) autisme tetapi soal hati tidak siapa yang tahu. Dalam diam, Manja menyintai Cikgu Yusof.0

Manis dan Manja adalah pasangan kembar seiras. Manis amat menyayangi adiknya, Manja seorang autisme walaupun sukar dikawal kerana sering merayau.

Manis adalah cikgu tadika dan bercinta dengan Cikgu Yusof dan mereka merancang untuk berkahwin. Tetapi Manja tidak suka Manis berkahwin dengan Cikgu Yusof kerana takut kakaknya tinggalkan dia. Tetapi takdir menentukan Manis berkahwin dengan arkitek kaki judi dan suka pukul isteri, Ikram.

Apakah kesudahannya? Hanya Bidadari Kiriman Tuhan yang akan ditayangkan di slot Drama Vaganza Astro Ria akan memberi jawapannya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here