Kor SUKSIS UiTM: Anak didik PDRM

1
324

“POLIS dan Masyarakat Berpisah Tiada” moto Hari Polis 2020. Begitulah juga ‘ikatan’ antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) telah bermula seawal 2003 lagi.

Pada 16 Julai 2003, buat julung kalinya, mesyuarat antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Detik itu, SUKSIS tertubuh di UiTM dengan matlamat kepada pembentukan sahsiah dan pembangunan keperibadian mahasiswa dengan acuan ilmu serta disiplin kepolisan. Justeru, mandat dan harapan agar UiTM bersama PDRM dapat melahirkan generasi cendekiawan yang cakna keselamatan.

Tarikh keramat, 1 Disember 2003, pengambilan pelatih sulung Kor SUKSIS UiTM telah buat di UiTM Shah Alam diikuti oleh UiTM Pulau Pinang pada Julai 2004. Melalui kelulusan Ketua Polis Negara, pada 2012, kesemua kampus cawangan UiTM seluruh Malaysia, telah mendapat mandat bagi penawaran program latihan Kor SUKSIS.

Pengambilan pelatih di kampus cawangan UiTM dilakukan secara berperingkat bermula dari 2013 di kampus Kedah, Pahang, Johor dan Sabah. Berpaksikan kerja keras dan komitmen padu kepimpinan PDRM dan pentadbir Kor SUKSIS UiTM, pada 2014, kesemua kampus cawangan UiTM telah mempunyai unit Kor SUKSIS dan berupaya menawarkan program kepada pelajar baru ambilan diploma dan ijazah Sarjana Muda.

LATIHAN DAN AKTIVITI

Latihan yang dijalani pelatih-pelatih Kor SUKSIS bukan calang-calang kerana mereka wajib menjalani latihan dan aktiviti daripada silibus yang disediakan dan diluluskan oleh Bahagian Latihan Bukit Aman. Ia adalah silibus yang wajib dipenuhi selama tiga tahun penuh.

Sinonim dengan pasukan keselamatan, latihan fizikal seperti latihan perbarisan, Seni Mempertahankan Diri (SMD), latih tubi fizikal dan juga latihan fizikal berpasukan adalah kemestiaan bagi semua pelatih SUKSIS. Pastinya, latihan dan aktiviti fizikal ini, amat meruntun kekuatan mental dan fizikal. Di samping itu, pelatih perlu mempelajari ilmu kepolisan seperti undang-undang kepolisan, cara penggunaan dan sistem senjata api, cara mengambil dan menulis laporan, cakna akan isu-isu keselamatan dan pelbagai lagi ilmu yang berkaitan dengan kerjaya kepolisan.

Garapan latihan dan ilmu ini berupaya membentuk seorang pelatih yang mampu bekerja secara berpasukan, boleh berkerja dalam keadaan tertekan namun berdisplin dengan tatacara kerja yang berstruktur dan bersistem. Kualiti pelatih Kor SUKSIS diperakui pada tahap terbaik kerana semua latihan akademik mahupun latihan luar dikendalikan dan dinilai oleh pegawai dan anggota tetap PDRM yang diperakui dan terlatih.

Ironinya, semua pelatih wajib menjalani latihan dan aktiviti Kor SUKSIS pada saban minggu dan di waktu yang sama, mereka merupakan mahasiswa yang memikul beban dan tanggungjawab sebagai pelajar di peringkat diploma mahupun Sarjana Muda. Justeru, setelah berjaya menamatkan kesemua silibus SUKSIS, pelatih akan dianugerahkan sijil pelantikan sebagai Pegawai Simpanan Polis berpangkat Inspektor di Konvokesyen Pentauliahan Tamat Latihan Kor SUKSIS yang diadakan saban tahun. Hakikatnya, pelatih Kor SUKSIS yang berjaya adalah pelatih yang berjiwa kental, mampu mengurus masa dan merupakan graduan yang mempunyai kualiti yang boleh dibanggakan.

SUKSIS KINI

Sehingga tahun ini, bilangan pelatih yang sedang mengikuti latihan Kor SUKSIS di seluruh sistem UiTM telah mencecah 1,150 pelajar dengan bilangan alumni seramai 2,587 pelajar. Namun, tanpa pentadbir di belakang tabir sebagai penghubung antara UiTM dan PDRM, Kor SUKSIS akan tempang.

Justeru, PDRM juga, telah meluluskan pelantikan Pegawai Kehormat SUKSIS daripada kumpulan pengurusan dan profesional UiTM bagi melaksanakan wacana dan rencana Kor SUKSIS. Barisan Komandan SUKSIS UiTM yang berkhidmat sejak penubuhannya ialah Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah (2005 – 2009), Tan Sri Prof Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar (2010 -2013 ), Dato` Prof Dr Abdullah Mohd Said (2014 – 2018) dan terkini Prof Dr Azizan Abdullah (2019 – kini)

Kejayaan penubuhan dan pelaksanaan Kor SUKSIS adalah hasil kerja keras, sokongan dan gandingan hebat antara PDRM dan warga UiTM. Pengukuhan Kor SUKSIS UiTM ini jelas menunjukkan bahawa UiTM-PDRM begitu komited dan berkeupayaan untuk menyumbang sumber tenaga manusia kepada negara dengan menyediakan tenaga kerja yang mempunyai ilmu, kemahiran dan berakauntabiliti ala kepolisan. Pelatih SUKSIS ini adalah permata yang sudah digilap dan sangat berkelayakan untuk meneruskan kerjaya sebagai anggota tetap PDRM. Namun, sekiranya PDRM bukan pilihan kerjaya, mereka adalah intelektual yang telah dipasak dengan disiplin, etika, prinsip, semangat berpasukan dan semangat juang yang tinggi dan sentiasa bersedia mempertahankan masyarakat dan negara daripada semua anasir yang cuba menganggu gugat keamanan negara.

— BERNAMA

*DSP/KS Ts Dr Mohammad Noor Jalil merupakan Pengarah / Ajutan Akademi kepolisan UiTM-PDRM dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan UiTM, Shah Alam

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here