Rehan Raja Libas selamat jalani bedah jantung

0
615
REHAN (depan, dua dari kiri) bersama skuad negara pemenang dua emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa (kot hitam).

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

LEGENDA sepak takraw negara 90-an, Rehan Mohamad Din selamat menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam.

Pemenang dua pingat emas Sukan Asia Bejing 1990 itu berkata, dia mula dibedah pada pukul 10 pagi dan selesai 4 petang.

“Saya mengalami jantung tersumbat.

“Saya kini dimasukkan di wad separuh kritikal (CT) IJN. Pagi tadi baru saya tersedar,” kata bapa kepada enam anak ini ketika dihubungi BebasNews menerusi WhatsApp hari ini.

REHAN Mohamad Din (kiri) bersama jurulatih negara, Haris Abdul Rahman dan rakan sepasukan negara yang menjuarai Piala Raja Thailand 1988. – Foto Haris Abdul Rahman

Bekas apit kanan atau perejam Malaysia dari 1987 hingga 1992 ini dikatakan mengalami masalah jantung sejak tiga tahun lalu.

Rehan, 53, membantu skuad negara menyapu bersih dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia itu, kedua-duanya dengan menewaskan Thailand 2-1 dan 2-0 di Gimnasium Fengtai, Beijing, China.

Dia bergandingan dengan tekong, Nordin Sabarudin dan apit kiri atau pengumpan, Abd. Malek Samsudin dengan skuad sepak takraw menjadi penyumbang tunggal emas kontinjen negara pada temasya ke-11 tersebut.

Rehan turut mengalungkan Malaysia dua pingat emas Sukan SEA Manila 1991 dan sebutir emas antara regu Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 serta membantu merampas Piala Raja Thailand 1988 (berpasukan) daripada musuh tradisi itu di Bangkok.

Dia dianggap Raja Libas 90-an Asia malah dunia manakala apit kanan seperjuangannya pada era itu ialah Shaari Hashim, Raziman Hassan dan Baharum Jahar, Iskandar Arshad dan Zabidi Sharif.

Anak jati Johor Bahru, Johor ini juga pernah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad wanita negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here