Juruterbang komersial di Pakistan guna lesen palsu

0
522
FOTO: Gambar hiasanan/Wikimedia Commons/Farhan Khurram / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)

CEMAS… Jika anda berhasrat menaiki pesawat komersial mana-mana syarikat penerbangan Pakistan, mungkin laporan ini boleh menimbulkan perasaan bimbang berlakunya nahas udara.

Menurut Menteri Penerbangan Awam Pakistan, Ghulam Sarwar dalam pendedahannya sekitar 40 peratus daripada 860 juruterbang aktif di negara itu dikesan memiliki lesen palsu.

Beliau membongkar mengenai kewujudan serius juruterbang ‘palsu’ ketika bentang satu laporan awal siasatan kemalangan maut babit pesawat kebangsaan PIA di Karachi pada bulan lalu.

“Ini bukan sahaja meliputi syarikat milik negara, PIA, malah operator tempatan, Serene Air dan Air Blue,” jelas Ghulam di Dewan Perhimpunan Kebangsaan di ibu kota Islamabad.

Siasatan itu ujar beliau, sebenarnya dibuat pada Februari 2019 lalu apabila kementerian tersebut mendapati 262 juruterbang tidak kemuka penyata keputusan peperiksaan penerbangan awam.

Malah, ada minta orang lain pula yang menduduki ujian berkenaan dan kajian itu menunjukkan bahawa juruterbang tersebut langsung tidak pengalaman mengemudi penerbangan sebenar.

“Ramai juruterbang tidak bertauliah ini bahkan dilantik atas sebab pengaruh ahli politik tertentu dan agak malang, faktor kelayakan merit tidak diambil peduli,” terang Ghulam dalam nada kesal.

Sekurang-kurangnya empat juruterbang PIA dikesan menggunakan ijazah palsu dan notis tunjuk sebab turut diberi kepada 54 juruterbang lain kerana taraf kelayakan akademik mereka diragui.

Tambah Ghulam, ada juruterbang cabar bawa kes itu ke mahkamah tetapi setakat ini sembilan juruterbang telah mengaku salah guna ijazah palsu ketika cuba memohon kerjaya berkenaan.

Dalam laporan tersebut, menteri itu mengesahkan juruterbang dan pengawal menara trafik udara sebagai bertanggungjawab ke atas nahas pesawat penerbangan PK8303 pada 22 Mei lalu.

Hanya dua penumpang terselamat manakala 97 orang termasuk lapan kru maut apabila pesawat PIA itu terhempas di kawasan padat penduduk dekat lapangan terbang antarabangsa Karachi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here