Lelaki melibas, wanita blocking dalam Sukan SEA dan AIMAG 2021

0
1016
ABDUL HALIM KADER

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

ASALNYA, sepak takraw yang dicipta pada 1946, turut mencedok ciri-ciri badminton. Gelanggang, sistem kiraan mata, servis berpindah tuan dan undang-undang permainan malah acara beregu (dua lawan dua) apabila memasuki alaf baharu.

Jika badminton mempunyai beregu campuran (lelaki dan wanita), bolehkah acara itu diterapkan kepada sepak takraw? Malah Sukan SEA Filipina tahun lalu, memperkenalkan acara lari berganti-ganti campuran dalam olahraga.

Kudrat antara kedua-dua jantina ini pasti berbeza apabila bersaing, apatah lagi cara dan situasi permainan dengan peralatan masing-masing.

Yang terpenting juga ialah bagaimana aspek keselamatan dan kesihatan diri atlet apabila melibas dan mengadang (blocking) bola yang menderu dengan halaju lebih 100 kilometer sejam?

Persoalan ini cuba dikupas oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dengan mendapatkan maklum balas dari lebih 30 negara ahli gabungannya dalam tempoh empat bulan akan datang menerusi satu pekeliling rasmi, baru-baru ini.

Kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader, “kemungkinan besar, acara sepak takraw campuran (mixed sepak takraw event) ini dapat diperkenalkan dalam Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia (AIMAG) di Thailand pada 22 hingga 29 Mei 2021.

“AIMAG di bawah Majlis Olimpik Asia (OCA) pernah mempertandingkan acara gelung (hoop) di Bangkok (ketika itu hanya dikenali Sukan Dalam Dewan Asia 2005) yang menawarkan dua pingat emas lelaki dan wanita malah bertahan bagi dua lagi edisi, di Macau 2007 dan Hanoi 2009,” katanya.

Berbeza dengan acara antara regu atau beregu, kuadran mahupun pantai, hoop dimainkan dengan lima pemain yang misinya, memasukkan bola ke dalam gelung yang digantung setinggi antara 4.50 dan 4.75 meter dengan sepakan, tandukan atau membahu.

KESELAMATAN pemain wanita (kiri) perlu dititikberatkan dalam situasi libasan dan adangan bola berdekatan jaring.

“Jika dapat masuk AIMAG Bangkok 2021, pingat emas yang dapat ditawarkan sudah jadi tiga (gelung lelaki, wanita dan campuran). Bagaimana kalau ditambah acara campuran bagi regu berpasukan, antara regu, beregu, beregu berpasukan dan kuadran? Jumlahnya 11 emas!

“Ada kemungkinan besar, Istaf turut mahu memasukkannya ke dalam Sukan SEA Ke-31 di Vietnam dari 21 November hingga 3 Disember 2021,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) kepada BebasNews hari ini.

Mekanisme, undang-undang permainan, berapa keanggotaan pemain lelaki dan wanita sewajarnya terutama bagi acara antara regu dan regu berpasukan campuran sudah pun dirangka secara kasar oleh Istaf dan Astaf, katanya.

“Walau bagaimanapun pandangan dan idea baharu atau segar negara-negara kerabat Istaf dan Astaf masih diperlukan untuk kami pertimbangkan dan perhalusi menerusi sidang Jawatankuasa Teknikal seterusnya Kongres, Disember ini.

“Sebagai contoh, bagaimana posisi pemain lelaki atau wanita yang bebas untuk menyepak bola, giliran perejam dan pertukaran mereka ketika permainan dan lain-lain,” katanya.

Idea acara campuran ini ujar Halim, sudah tercetus kira-kira empat tahun lalu malah sudah tiba masanya untuk direalisasikan apatah lagi acara pantai didapati kurang menarik minat negara-negara ahli gabungan menyertai Sukan Pantai Asia (ABG) juga kelolaan OCA.

“Sepak takraw pantai sudah tiada lagi dalam ABG kerana kebanyakan majlis Olimpik kebangsaan enggan membiayai kos pemergian pasukan masing-masing sehingga ada yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri yang membebankan,” katanya.

Namun tegas Halim, dasar kekangan penyertaan seperti mana dalam Sukan SEA dan Asia sejak 2009 dan 2010 turut akan dikenakan bagi acara campuran ini bagi mencegah monopoli negara kuasa utama tertentu.

“Bagi gelung, setiap negara peserta hanya boleh main dua daripada tiga acaranya manakala sepak takraw biasa, cuma enam daripada lapan acara,” katanya yang bertujuan mengagihkan kutipan pingat emas kepada lebih banyak negara secara saksama.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here