Empat beradik didakwa ubah wang haram RM1.8 juta

    0
    589
    fotoBERNAMA

    SEORANG bekas eksekutif akaun, Yayasan Nurul Yaqeen bersama 3 lagi adik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 100 pertuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.8 juta sejak 5 tahun lalu.

    Mimi Khairani Baharudin, 36, yang menghadapi 32 pertuduhan berjumlah RM905,392 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Azman Abu Hassan.

    Wanita yang hamil 5 bulan itu didakwa melakukan semua kesalahan antara 1 Jan 2015 hingga 31 Dis 2018 di Maybank cawangan Tapah.

    Sementara itu 3 adiknya, iaitu Mohd Khairul Asrani, 34, Nur Izyani, 33, dan Muhammad Nur Husaini, 26, mengaku tidak bersalah masing-masing atas 29, 20 dan 19 pertuduhan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM897,063 yang didakwa dilakukan antara 1 Jan 2015 hingga 31 Dis 2018 di Maybank cawangan Ipoh Garden di sini.

    Kesemua mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda 5 kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Ahmad Farid Ahmad Kamal, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Norizawani Ahmad Jalaludin.

    Terdahulu, Ahmad Farid menawarkan jaminan sebanyak RM4.8 juta kepada Mimi Khairani dan RM4.35 juta kepada Mohd Khairul Asrani, manakala Nur Izyani serta Muhammad Nur Husaini masing-masing ditawarkan RM3 juta dan RM2.85 juta.

    Bagaimanapun, Norizawani memohon mahkamah meringankan jumlah jaminan kerana keempat-empat tertuduh tidak berkerja dan keluarga hanya mempunyai tunai RM50,000 untuk ikat jamin kesemua mereka dan akaun bank dibekukan bagi tujuan siasatan.

    Selain itu, mahkamah dimaklumkan Nur Izyani baru sahaja disahkan mengidap kanser payudara dan fibroid dalam rahim.

    Mahkamah kemudian membenarkan Mimi Khairani diikat jamin RM400,000, manakala RM350,000 bagi Mohd Khairul Asrani, Nur Izyani (RM250,000) dan Muhammad Nur Husaini (RM200,000) kesemuanya dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis terdekat.

    Selain itu, mahkamah juga membenarkan apa-apa barang yang mempunyai nilai sama untuk dipindahkan bagi tujuan jaminan dan menetapkan 29 Julai bagi sebutan semula kes.

    -Bernama

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here