Gol ‘’libasan takraw’ Safee hanya nombor dua

0
2149
POSTER laman Facebook Safee Sali dan PFAM yang menyokong pencalonan the-afc.com itu.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

HANYA lima peratus yang memisahkan Safee Sali sebagai pemenang ‘5 Gol Akrobatik Terbaik Piala AFC’ apabila bekas penyerang negara itu sekadar beroleh 46 peratus undi para peminat yang melayari the-afc.com.

Anggota skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjuarai Piala AFC 2015 ini tewas kepada pemain dari Vietnam dan kelab Hanoi FC, Nguyen Van Quyet yang memperoleh 51 peratus undi anjuran laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu.

Gol Safee, 36, dicipta dengan libasan kaki ala sepak takraw dari jarak 11 meter dalam kotak penalti hasil umpanan Nazrin Nawi untuk melengkapkan kemenangan JDT 4-1 terhadap East Bengal (India) dalam saingan Kumpulan F Piala AFC 2015 di Johor Bahru.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu kini menyarung jersi PJ City FC dalam Liga Super 2020 yang masih tertangguh gara-gara penularan pandemik maut Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 16 Mac lalu.

Quyet, kapten kelab Vietnam itu pula melakukan rembatan kaki kiri selepas menimang bola ketika membolosi gawang sekali gus mengikat Ceres Negros 1-1 dalam Piala AFC 2017 biarpun ada dua pemain lawan di depannya, sambil menewaskan penjaga gol Roland Muller.

Sebanyak 66,654 undian secara dalam talian diperoleh the-afc.com sejak dibuka dari 18 Jun lalu dan berakhir petang ini.

Calon-calon gol dalam undian yang dipetik daripada saingan Piala AFC (divisyen dua selepas Liga Juara Asia – ACL anjuran AFC) ini mengambil kira sepakan bebas, rembatan jarak jauh dan kehebatan individu.

Turut dicalonkan namun hanya beroleh 2 peratus undi ialah penjaring gol Qadsia SC dari Kuwait, Omar Al Soma terhadap Al Hidd dalam Piala AFC 2014 menerusi satu sepakan berkayuh cantik yang menewaskan penjaga gol Abbas Ahmed hasil apungan bola daripada Simplicio dari sebelah kanan.

Dua lagi calon 5 Gol Akrobatik Terbaik Piala AFC ini ialah milik Abdulatif Salkeni (Al Jaish melawan Nejmeh) pada 2015 dan penyerang Singapura dan Tampines Rovers, Khairul Amri menentang Nagaworld FC dari Kemboja, tahun lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here