Muhyiddin tidak akan sahut seruan pilihan raya kilat, kata penganalisis

0
319
FOTO: NSTP.

PENGANALISIS politik berpandangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak akan menyahut seruan pilihan raya kilat daripada Umno memandangkan keadaan tidak menyebelahi partinya, PPBM.

Bagaimanapun, mereka menjangkakan Umno untuk terus mendesak pembubaran Parlimen kerana parti itu percaya Muafakat Nasional, yang bekerjasama PAS, akan dapat sebahagian besar undi.

Azmi Hassan di Universiti Teknologi Malaysia berkata PPBM dilanda isu dalaman dan percaya Muhyiddin tidak akan menyahut seruan pilihan raya selagi ia belum selesai.

Isu paling utama adalah cabaran terhadap kesahan pentadbiran Muhyiddin daripada pengasas PPBM, Dr Mahathir Mohamad dan kumpulannya.

“Selagi ada isu melibatkan kesahan pemimpin-pemimpin parti itu, Muhyiddin tidak akan memanggil pilihan raya,” kata Azmi.

Beliau juga berkata PAS dan Umno, 2 parti Melayu terbesar, mungkin sekali akan menentukan syarat-syarat rundingan agihan kerusi dengan rakan-rakan Perikatan Nasional.

Oleh kerana itu, katanya, Muhyiddin tidak akan menyahut seruan pilihan raya sehingga beliau sudah mengukuhkan PPBM dengan menambah bilangan ahli Parlimennya, mungkin sekali melalui penghijrahan parti.

Seruan membubarkan Parlimen terbaru muncul daripada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan. Beliau dan pemimpin lain sebelum ini memberi sebab ketakpastian politik kerana majoriti nipis gabungan pemerintah di Parlimen.

Ahli sains politik, Wong Chin Huat berkata Muhyiddin tidak wajar menyahut seruan pilihan raya kilat ketika PPBM masih berpecah-belah dan jentera pilihan rayanya masih lemah.

Beliau berpandangan Umno dan PAS akan mendominasi rundingan kerusi dan mereka mungkin sekali tidak akan membenarkan PPBM bertanding 50 kerusi, bilangan yang ditandinginya pada pilihan raya umum ke-14.

Mereka juga tidak akan bersetuju untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas PRU-15, tambahnya.

Wong berkata strategi terbaik bagi Muhyiddin ketika ini adalah gencatan dengan Pakatan Harapan, dengan menjanjikan tiada pendakwaan terplih, melaksanakan reformasi Parlimen, dan memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen, untuk mendapatkan kerjasama pembangkang.

Ini lebih baik berbanding “disembelih Umno dan PAS” dalam pilihan raya kilat, tambahnya.

Beliau berkata komuniti perniagaan dan orang ramai akan menyambut baik gencatan itu.

“Hakikatnya pilihan raya kilat tidak akan menamatkan kebuntuan politik kerana Umno dan PAS tidak boleh menang 112 kerusi daripada 165 kerusi di Malaysia Barat.

“GPS sudah tentu akan bertanding bawah lambang sendiri daripada terikat dengan PAS. Ia bebas untuk berunding selepas pilihan raya. Begitu juga kebanyakan kebanyakan ahli Parlimen Sabah, yang akan menyahut tawaran terbaik.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata membubarkan Parlimen tidak akan membantu Muhyiddin.

Tetapi beliau menjangkakan Umno akan terus mendesak.

“Umno akan terus mendesak sehingga Muhyiddin letak jawatan atau panggil pilihan raya kerana percaya boleh menang besar,” katanya.

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here