Najwa Latif Tak Kisah Pun

0
806
Selain menyanyi, Najwa juga memikul tanggungjawab sebagai pensyarah.


Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BIARPUN nama Najwa Latiff tidak serancak dulu namun peminat muzik tanah air tetap mengingatinya sebagai penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku.

Ini kerana Najwa pada awal kemunculannya terkenal dek lagu ciptaannya, Cinta Muka Buku yang dimuat naik dalam YouTube mendapat sambutan hangat sehingga melayakkan beliau memasuki pusingan akhir Anugerah Juara Lagu ke-26.

Kini Najwa kembali aktif selepas melengkapkan pengajian peringkat sarjana  dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM), Oktober tahun lalu.

“Alhamdulillah, lega rasanya apabila impian belajar ke peringkat sarjana tercapai. Syukur, saya berjaya menyudahkannya,” katanya yang sanggup memperlahankan kerjaya seni demi mengejar ilmu di menara gading.

Najwa Latif tampil dengan single Tak Kisah Pun untuk pendengaran peminat yang merinduinya.

Sebagai langkah awal, Najwa akan muncul dengan single baharu pada Januari lalu.

Namun semua perancangan dibuat terpaksa ditangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek pandemik Covid-19.

“Pada awalnya, saya merancang mengeluarkan single baharu pada Januari lalu, tetapi disebabkan PKP, rancangan terpaksa ditunda. Tanpa dirancang, sekitar Mac lalu, saya mendapat idea menghasilkan lagu Tak Kisah Pun.

“Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. Sebenarnya, versi akustik lagu ini sudah dimuat naik di YouTube. Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya,” jelasnya.

Untuk single tersebut, Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif, 25, menampilkan penyanyi rap baharu Akwa Arifin. Kolaborasi tersebut berlaku kerana Najwa meminati karya-karya Akwa di YouTube.

Malah jelas Najwa, lagu Tak Kisah Pun dihasilkan olehnya dan adik- beradik yang menggelarkan diri mereka sebagai Ellgee, manakala liriknya dihasilkan dengan kerjasama Akwa. Tak Kisah Pun berkisar mengenai menerima seseorang itu seadanya.

Kali terakhir Najwa mengeluarkan single adalah sekitar Ogos tahun lalu iaitu Kau Lupa Itu Aku.

“Saya amat teruja dengan single baharu ini kerana ia merupakan produk sulung dari syarikat rakaman saya sendiri iaitu, NL Entertainment.

“Selain single, muzik video Tak Kisah Pun sudah dimuat naik dalam YouTube sejak 19 Jun lalu dan hingga kini telah mencecah kira-kira 660,000 dan boleh dilayari di Najwa Latif – Tak Kisah Pun ft. Akwa Arifin (Official Music Video), ” jelasnya.

Selain itu, beliau juga sibuk dengan kerjayanya sebagai pensyarah subjek bahasa Inggeris di UNITAR International University.

“Kini sudah lebih dua tahun saya mengajar. Jujurnya, saya gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang ini,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan tudung jenamanya sendiri, Najwal.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here