Populariti Dr M dalam kalangan Melayu merudum, dakwa penganalisis politik

0
198

SOKONGAN merudum terhadap Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja berlaku dalam Bersatu tetapi juga dalam kalangan pengundi Melayu yang sebelum PRU14 menyokong beliau, kata penganalisis politik.

Menurut Prof Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sokongan terhadap bekas perdana menteri itu menurun sejak beliau mentadbir kerajaan Pakatan Harapan lagi, atas faktor prestasi menteri di bawahnya.

“Apabila beliau letak jawatan perdana menteri, populariti Dr Mahathir semakin merundum dan ditambah persengketaan terbuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya melihat pengaruh Mahathir terhadap pengundi Melayu bukan sahaja di luar bandar tapi di bandar juga berada dalam tahap yang agak minimum,” katanya kepada Malaysiakini.

Prof Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut sependapat dengan Azmi, berkata kaum Melayu memandang tinggi terhadap Mahathir sebelum ini, sehinggalah beliau menyatakan hasratnya untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

‘Bila PKR tolak, politik Dr M sampai ke penghujung’

“Tahap populariti Tun M semakin berkurangan berbanding sebelum ini. Tak sepatutnya beliau menggunakan sentimen Melayu-Cina bagi meraihkan popularitinya kembali,” katanya yang merujuk kepada temubual Mahathir dengan Asian Times.

Dalam temubual tersebut, Mahathir menjelaskan tentang jurang kekayaan antara dua kaum itu di Malaysia dan mendakwa masyarakat Cina telah menjadi sangat kaya dan boleh dikatakan “memiliki semua bandar di Malaysia.”

“Sebelum ini orang Melayu hormat beliau tetapi bila beliau masih bercita-cita mahu jadi perdana menteri untuk kali ketiga macam ada ‘something wrong’ (ada yang tak kena) dengan tindakan beliau.

“Politik Mahathir dah sampai penghujung bila mana Anwar dan PKR menolak pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri kali ketiga.

“Mungkin Mahathir ada agenda lain tak mahu Anwar jadi perdana menteri. Langkah Anwar adalah langkah tepat untuk tidak menerima Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi,” kata Rusdi.

Kurang sokongan lepas dipecat Bersatu

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari UUM pula merasakan sokongan utama Mahathir yang sebelum ini datang dari Melayu luar bandar semakin berkurangan setelah beliau dipecat dari Bersatu.

“Mahathir sekarang tiada platform politik selepas terkeluar dari Bersatu. Mahathir belum secara rasmi adalah sebahagian daripada PH. Mahathir perlukan platform politik,” jelasnya.

Bagaimanapun, Azizuddin berkata sokongan kepada Anwar yang terdiri daripada golongan Melayu Islamik bandar yang progresif, Melayu profesional serta belia bawah 40 tahun telah terjejas.

“Ini dengan meningkatnya sokongan orang Melayu kepada Umno dan PAS setelah sentimen kemelayuan yang dimainkan kedua-dua parti,” katanya.

Bagaimanapun, Rusdi dan Azmi melihat populariti Anwar di kalangan Melayu tidak banyak perbezaan sejak beliau menubuhkan PKR pada tahun 1998.

Azmi berkata presiden PKR itu kemungkinan berdepan dengan kekurangan sokongan pengundi Melayu kini, tetapi tidak begitu ketara berbanding Mahathir.

Ini kerana menurutnya, kekuatan politik Anwar tidak banyak bergantung kepada sokongan pengundi Melayu sejak dari era reformasi sehingga kini.

“Tapi politik Malaysia bukan hanya berkisar dengan pengundi Melayu dan senario sebegini memberi kelebihan politik kepada Anwar.

“Senario Anwar tidak banyak bergantung kepada pengundi Melayu beri kelebihan kerana ketika ini pengundi Melayu lebih selesa dengan Muafakat Nasional (MN).

“Jadi PH untuk tarik pengundi Melayu akan terkekang tetapi Anwar mampu tarik minat bukan Melayu dan ini kelebihan Anwar berbanding Dr Mahathir,” katanya.

Anwar kerjasama PM Muhyiddin

Beliau turut menjelaskan bahawa penerimaan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) jauh lebih baik berbanding PH, tetapi mengingatkan bahawa kekuatan PN banyak disumbang oleh MN.

Rusdi pula berpendapat, meskipun populariti Anwar di kalangan orang Melayu masih seperti dahulu, namun beliau berkata ahli parlimen Port Dickson itu mampu meningkatkannya melalui kerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Populariti Anwar di kalangan orang Melayu masih macam dahulu cuma beliau perlu mengawal orang sekeliling beliau (supaya) jangan melampau sangat.

“Mungkin sokongan ini akan bertambah bila beliau bersama Muhyiddin dalam menangani isu Covid-19 dan ekonomi negara tanpa perlu memikirkan sangat tentang agenda Mahathir untuk merampas kembali kerajaan dari PN dan abaikan terus Mahathir kerana beliau dilihat tidak ikhlas dengan Anwar,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/532086

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here