UMNO dan PAS perlu sepakat

0
485

MENGENAI politik Malaysia sekarang, kita sudah tidak tahu cakap siapa kita boleh percaya. Setiap hari, kita mendengar cerita ada ahli Parliment dan ahli Dewan Undangan Negeri yang akan melompat keluar atau ke dalam kumpulan kerajaan; bahawa kerajaan PN akan tumbang dalam masa sehari dua lagi, tetapi, sehari dua itu telah menjadi seminggu dua, malah sebulan dua tetapi kerajaan itu masih tidak tumbang.

Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin utama pembangkang masih bertegang leher, masing-masing mahu menjadi Perdana Menteri (PM). Yang berumur 95 tahun dan sudah menjadi PM sebanyak dua kali selama 22 tahun 22 bulan, mahu menjadi PM bagi kali ketiga untuk enam bulan lagi, tidak siapa tahu mengapa.

Seorang lagi, yang berumur 72 tahun, berkata dia telah menunggu selama tiga dekad dan ditipu sebanyak dua kali dan dia tidak mahu ditipu bagi kali ketiga, oleh orang yang sama.

Biar apa pun, selagi mereka bertegang leher, tidak tahulah selama berapa hari atau minggu (bulan mungkin terlalu lama, kerana kedua-duanya boleh tiba-tiba membuat pusingan-U), PM semasa, TS Muhyiddin, masih selamat.

Pada zahirnya TS Muhyiddin nampak tenang, kerajaannya nampak aman dan keadaan dalam negara pun tenteram. Tetapi, tidak boleh dinafikan bahawa kuman Covid-19 membantunya. Jika ia membantu pun, itu adalah kerana pasukan perubatan Malaysia telah memberi perkhidmatan yang profesional, cekap dan berdedikasi tanpa menghirau risiko kepada diri sendiri. Demikian juga pasukan tentera dan polis yang berhujan-panas, siang dan malam untuk memastikan perintah kawalan pergerakan dipatuhi.  Peranan penjawat-penjawat awam lain juga tidak dilupai

Rakyat Malaysia juga telah memberi kerjasama yang sangat baik dengan mematuhui undang-undang, peraturan dan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Kerajaan juga patut dipuji. Selain daripada dapat mengatasi wabak itu, ia dapat mengekalkan ketenteraman dalam keadaan yang amat mencabar itu. Daripada tarikh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan hingga ia ditarik balik, kita tidak mendengar rungutan bahawa ada orang yang kelaparan.

Pemimpin-pemimpin politik telah melakukan satu perkara yang betul dalam manangani wabak ini. Meraka mendengar dan ikut cakap para profesional. Dalam hal ini, satu perkara yang berlaku di awal wabak itu telah membantu. Saya merujuk kepada kenyataan lucu Menteri Kesihatan. Ia telah menyebabkan beliau dan menteri-menteri lain lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan. Namun demikian, ada juga menteri yang mengambil alih tugas penjawat awam untuk mendapat publisiti. Tugas menteri-menteri adalah membuat keputusan-keputusan dasar. Yang melaksakannya seharian adalah penjawat awam.

Tetapi, di sebalik ketenangan itu, tindakan-tindakan TS Muhyiddin menampakkan kegelisahan beliau. Beliau cuba “membeli” ahli-ahli Parlimen supaya menyokongnya jika ada undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Beliau melakukannya dengan melantik mereka ke jawatan-jawatan dalam syarikat-syarikat GLC dan institusi-institusi kerajaan dan sebagai Duta (jawatan Menteri dan Timbalan Menteri sudah penuh diisi), walau pun mereka tidak mempunyai apa-apa pengalaman, jauh sekali kepakaran dalam bidang-bidang berkenaan. Beliau juga amat pemurah kepada MCA dengan harapan MCA akan membawa undi orang Cina mengundi calon-calon PN, satu harapan yang meleset.

Tujuannya adalah untuk memberi pendapatan lebih kepada mereka supaya mereka akan menyokongnya. Itu adalah satu kesilapan yang beliau lakukan. Kita baru sahaja melihat penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh lantikan-lantikan politik dalam GLC oleh kerajaan BN. Beliau mengulangi kesilapan BN. Kesilapan-kesilapan itu akan memakan diri akhirnya.

Kita baca pula kisah pertemuan TS Muhyiddin dengan DS Anwar dan kisah beliau menulis surat untuk mendapat tarikh menemui Tun Dr. Mahathir. Untuk apa? Adakah beliau atau DS Anwar atau kedua-duanya berfikir mengenai PKR dan Bersatu akan menubuh satu pakatan Baru tanpa BN dan PAS untuk membentuk kerajaan? Adakah Tun Dr. Mahathir akan diajak bersama?

Jika Bersatu dan PKR  sahaja yang akan bekerjasama, mereka tidak mempunai majoriti. Lagi pula, siapa akan menjadi PM? Mereka akan berebut pula. Jika Tun Dr Mahathir menyertai pakatan itu, masalah yang sama menjadi lebih buruk melainkan jika mereka mencipta sejarah dunia dengan mengadakan tiga PM!

Bagaimana jika DAP dibawa bersama? Ini bererti mereka kembali semula kepada PH yang asal. Jika itu berlaku, UMNO dan PAS akan menjadi pembangkang semula.

Pada 24 06 2020, keluar Berita mengenai Petronas (saya percaya, dipaksa) menerik balik rayuannya terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang bersidang di Kuching mengenai cukai jualan yang dikenakan oleh Sarawak ke atas produk petroleum. Adalah amat mendukacitakan  apabila isu undang-undang diselesaikan di luar  Mahkamah atas pertimbangan politik: untuk mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen Sarawak kepada TSM Muhyiddin dan kerajaan PN jika berlaku undi tidak percaya  yang dikatakan akan di bawa oleh PH apabila Parlimen bersidang dalam bulan Julai ini.

Penyelesaian di luar mahkamah itu mempunyai implikasi undang-undang dan kewangan yang sangat besar kepada kerajaan Persekutuan yang berpanjangan. Mengapa tidak membiarkan Mahkamah Persekutuan memutuskannya?

Mungkin boleh dihujahkan bahawa harga yang dibayar itu tidaklah terlalu mahal untuk mengelak sebuah kerajaan yang akan mempertahankan kepentingan orang Melayu/ Islam. Soalannya, adakah alasan itu terlintas di fikiran TS Muhyiddin semasa melakukan semua itu atau semua itu dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya dan adakah beliau akan mempertahankan kepentingan orang Melayu/Islam jika terus menjadi PM?

Selasai saya menulis rencana ini pada petang 27 06 2020, tersiar pula berita Tun Dr. Mahathir mengisytiharkan bahawa PH+ telah bersetuju menamakan DS Shafie Apdal sebagai calon PM manakala DS Anwar sebagai TPM 1 dan DS Mukhriz sebagai TPM2. DS Anwar juga dikatakan telah bersetuju.

Jika DAP dan Amanah bersetuju terserahlah kepada mereka, saya tidak mahu komen. Tetapi, jika DS Anwar bersetuju, saya amat hairan. Tidakkah itu juga bererti beliau ditipu bagi kali ketiga oleh orang yang sama? Bezanya ialah Tun Dr. Mahathir tidak menjadi PM, tetapi yang pentingnya DS Anwar terlepas lagi.

DS Shafie juga lebih muda daripada DS Anwar dan tidak pula disebut berapa lama DS Shafie akan menjadi PM. Bagaimana jika beliau tidak melepas jawatan itu?

Kepada DS Anwar saya katakan, setelah sekian lama mahukan jawata PM, jika tidak dapat juga, tak usahlah terima jawara TPM apatah lagi dengan DS Shafie sebagai PM. Bersara sahajalah dari politik.

Perkembangan ini juga menunjukkan betapa desparatenya Tun Dr. Mahathir untuk merampas balik jawatan PM daripada TS Muhyiddin.

Jika begitulah caranya pamimpin-pemimpin politik memilih calon PM, saya kasihan kepada rakyat Malaysia.

Jika diperhatikan dari awal penubuhan kerajaan PN lagi, adalah jelas bahawa TS Muhyiddin lebih memikirkan keselamatan kedudukannya sebagai PM daripada menubuh sebuah kerajaan yang kuat. Untuk itu, beliau menggugurkan pemimpin-pemimpin UMNO, terutama sekali, dan juga Pas yang mungkin menggerhanakan kedudukannya. Beliau mempunyai alasan untuk menggugurkan DS Zahid kerana beliau sedang menghadapi pertuduhan jenayah. Tetapi, bagaimanan, dengan DSU Mohamad Hasan, DS Mahdzir Khalid, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan DS Haji Abdul Hadi Awang? Saya katakan, atas alasan yang sama jugalah beliau tidak melantik Timbalan PM (TPM).

Bahawa di saat yang genting seperti ini, beliau masih mengamalkan sikap demikian sangatlah mendukacitakan. Beliau sepatutnya mengumpul semua pemimpin-pemimpin Melayu untuk bersama-sama mencari jalan memperkuatkan politik orang Melayu di tanahairnya apabila mendapat peluang yang tidak mungkin diperolehi bagi kali kedua itu, di samping memperbaiki ekonomi negara yang dikatakan amat teruk itu, jika benar. Beliau sepatutnya melakukan sesuatu yang betul, walau pun beliau menjadi PM selama sehari daripada melakukan kesilapan yang akan memberi kesan buruk yang berpanjangan kepada kerajaan Persekutuan dan negara, semata-mata kerana mahu kekal lama sebagai PM. Tetapi, ahli politik tidak berfikir demikian. Mereka cuma mengira berapa lama mereka boleh menjadi PM, yang lainnya tidak penting.

Tindakan-tindakan beliau itu menunjukkan bahawa TS Muhyiddin sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kedudukannya dan kedudukan kerajaan PN. Demikian juga pemimpin-pemimpin PH. Mereka juga sanggup melakukan apa sahaja untuk merampas balik kuasa daripada TS Muhyiddin. Mungkin itu politik. Yang utama adalah kepentingan diri. Yang lainnya hanyalah alasan.

Tindakan-tindakan itu juga menunjukkan bahawa TS Muhyiddin berada dalam keadaan gelisah. Beliau tahu Bersatu, dengan sendirinya, tidak boleh mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 kerana faktor-faktor yang memberinya kemenangan dalam PRU14 sudah tidak ada lagi. (Rujuk Pembahagian Kawasan Pilihan Raya Antara Parti-Parti Komponen PN Dalam PRU15 (22 06 2020 – dalam laman web saya).

Demikian juga halnya dengan kumpulan Tun Dr. Mahathir, PKR, Amanah dan kumpulan DS Azmin. Bertanding sendiri mereka akan terkubur. Mereka perlukan sokongan UMNO+PAS atau DAP. Maka pilihan mereka ialah untuk bekerjasama dengan UMNO+PAS atau DAP.

Tidak kesemua parti-parti itu boleh duduk bersama. PKR tentu tidak boleh menerima kumpulan DS Azmin, kumpulan Tun Dr. Mahathir tentu tidak boleh menerima Bersatu yang dipimpin oleh TS Muhyiddin. Perebutan jawatan PM adalah satu perkara lagi. Yang menjadi tawkeh besar yang kepadanya parti/kumpulan Melayu itu meminta pertolongan adalah DAP.  Tidak malukan Melayu?

Maka UMNO dan PAS perlu kekal sepakat. Jika Bersatu dan kumpulan DS Azmin kekal dalam PN, mungkin syor saya dalam rencana saya bertarikh 22 06 2020 itu boleh menjadi panduan. Jika tuntutan mereka tidak berpatutan, peringatkan mereka apa yang mungkin berlaku jika mereka bertanding bersendirian.

Jika Bersatu dan kumpulan DS Azmin memilih untuk tidak Bersama UMNO+PAS, pembahagian kawasan antara UMNO dan PAS menjadi lebih mudah.

Dalam keadaan tidak menentu itu, terdapat pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak terpilih sebagai ahli-ahli kabinet TS Muhyiddin yang menyeru supaya TS Muhyiddin meminta DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum. Biarlah rakyat menentukannya.

Dalam hal ini pun kita dapat perhatikan bagaimana ahli-ahli politik berfikir:

  1. Pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak terpilih sebagai ahli-ahli kabinet TS Muhyiddin mahukan PRU diadakan kerana mereka percaya bahawa UMNO berkemungkinan memenangi lebih banyak kerusi, akan menjadi parti dominan dalam kerajaan PN, jawatan PM mungkin beralih kepada UMNO dan mereka akan dapat duduk dalam kabinet PN baru itu. Tidak dinafikan semua itu, jika berlaku, adalah menguntungkan UMNO.

 

  1. Pemimpin-pemimpin UMNO yang terpilih menjadi anggota kabinet TS Muhyiddin selesa dengan kedudukan mereka dan mendiamkan diri.

 

  1. PAS yang dapat duduk dalam kerajaan Persekutuan dan baru hendak merasa nikmatnya lebih suka hayat kerajaan PN dilanjutkan hingga ke akhir penggal. Apatah lagi Presidennya telah dilantik menjadi Duta.

 

  1. Pemimpin-pemimpin Bersatu semestinyalah mahu melanjutkan kerajaan yang ada sekarang hingga ke akhir penggal PRU14 kerana kedudukan itu menguntungkan mereka. Mereka juga tahu, jika Bersatu memilih berada bersama UMNO dan PAS dalam PRU15 dan PN menang pun, Bersatu tidak akan boleh memenangi bilangan kerusi terbanyak, walaupun kumpulan DS Azmin dikira bersama. TS Muhyiddin tidak akan berada di kedudukan di mana beliau boleh menuntut jawatan PM.

 

  1. PH+ juga takut menghadapi pilihan raya. Ia tahu sokongan orang Melayu yang memberinya kemenangan dalam PRU14 sudah tidak ada lagi. Sebab itulah hingga sanggup mereka mengemukakan nama DS Shafie Apdal sebagai calon PM dengan harapan baliau akan dapat mengumpul cukup ahli Parlimen untuk menjatuhkan TS Muhyiddin.

 

  1. Jika diadakan PRU, + akan menjadi -. Maka Tun Dr. Mahthir tidak pernah menyebut mengenai pilihan raya. Beliau bermati-matian berusaha untuk merampas balik kerajaan daripada PN kepada PH+. Jika mengikut PH+ kerajaan PN kerajaan pintu belakang, tidakkah itu juga kerajaan pintu belakang? Kudua-duanya bukan melalui pilihan raya.

Dalam keadaan negara sekarang, semua ahli-ahli politik sepatutnya melupai politik seketika dan bersama-sama berusaha untuk mengatasi masalah wabak Covid-19 dan memperbaiki ekonomi negara, bukan berpolitik semata-mata untuk merampas dan mengekalkan kuasa, tidak kira apa akibatnya kepada negara. Malangnya mereka tidak dapat berfikir demikian.

Sama ada kerajaan PN tumbang atau tidak; menang atau kalah dalam undi tidak percaya; Parlimen dibubar dan pilihan raya diadakan atau tidak; Bersatu menyertai UMNO+PAS atau tidak, UMNO dan PAS perlu terus sepakat. Keduanya adalah kumpulan terbesar dalam politik Malaysia yang parti-parti lain tidak boleh abaikan jika mereka hendak menubuh kerajaan. Bagi orang Melayu/Islam, ia sahajalah harapan untuk membela hak mereka.

Akhir kata, semua pemimpin-peminpin PN perlulah mengambil ingatan bahawa tanggungjawab mereka yang paling utama ialah mempertahankan kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu/Islam di peringkat Persekutuan dan tolak ansur sesama mereka adalah lebih baik daripada tolak ansur dengan DAP dan MCA.

28 06 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here