Persatuan Alumni UiTM lapor individu cemar Jata Negara Malaysia

    0
    403
    Setiausaha Agung PAUiTM, Shukri Ishak menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap pihak yang menghina Jata Negara Malaysia.

    Oleh Arrazaq Nazri

    SHAH ALAM — Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) membuat laporan polis terhadap pihak yang mencemar Jata Negara Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

    Menurut Setiausaha Agungnya, Shukri Ishak, pada 28 Jun baru-baru ini semasa berada di pejabat, beliau telah menerima satu bahan melalui whatsapp yang jelas menghina dan memperlekeh Jata Negara dan boleh menghasut orang ramai supaya tidak menghormati Jata Negara.

    “Bahan ini dipercayai dibuat di sebuah buku bertajuk REFORMASI, RESISTANCE AND HOPE IN NEW MALAYSIA yang ditulis oleh seorang bernama Kean Wong.

    “Saya selaku Setiausaha Agung PAUiTM dan seorang warganegara Malaysia mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat dalam penerbitan, penciptaan, pengeluaran dan penyebaran buku dan bahan-bahan yang menghina Jata Negara ini di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak & Penerbitan dan lain-lain undang-undang yang berkaitan,”katanya kepada pemberita di sini (29 Jun).

    Shukri berkata, pihaknya juga mendesak Kementerian Dalam Negeri supaya melarang dan mengharamkan penerbitan, penjualan dan penyebaran buku ini.

    Mengulas lanjut, pihak PAUiTM melahirkan rasa kesal dan marah dengan sikap segelintir pihak yang kurang ajar dan biadap kerana mempersendakan Jata Negara Malaysia itu dengan imej yang memalukan dan menjatuhkan maruah negara.

    “Jata Negara Malaysia merupakan lambang rasmi kerajaan
    Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952 dan ia seharusnya dihormati.

    “Hanya mereka yang tidak mempunyai semangat jatidiri dan menghormati negara ini sahaja yang sanggup melakukan perbuatan itu. Apa yang dilakukan itu tidak menggambarkan sikap patriotik dan sayangkan kepada negara ini,”katanya.

    Beliau menambah, pihaknya membuat laporan tersebut bagi memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak bersikap biadap kepada ‘bumi yang kita pijak ini dan langit yang kita junjung ini’.

    -BebasNews

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here