Media Prima tamatkan perkhidmatan 300 pekerja

0
968

MEDIA Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu utama Malaysia, mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada kira-kira 300 orang pekerja, dengan tarikh akhir pekerjaan pada 31 Julai ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Media Prima memaklumkan kumpulan dan wakil-wakil daripada lima kesatuan sekerja telah mencapai persetujuan dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan seperti yang telah diumumkan pada 4 Jun lepas.

“Perbincangan tersebut bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

“Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisme pampasan yang adil serta saksama kepada para kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian-perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Media Prima mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya berikutan perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik Covid-19.

“Faktor-faktor ini telah memaksa kumpulan untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya. Ia merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.

“Inisiatif-inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit-unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul dari pertindihan kerja. Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan Kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.

BERNAMA
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here