Perangkap kitaran hutang ciptaan manusia

0
542

Oleh KAMIL MASLIH

ASAS kepada ekonomi adalah transaksi berdasarkan permintaan dan penawaran. Dengan kata lain, tidak ada penjualan, jika tidak ada pembelian. Cuma dalam konteks ekonomi moden, satu faktor yang perlu kita libatkan juga adalah hutang, atau dalam bahasa lembutnya, pinjaman.

Hutang adalah duit pada masa hadapan yang anda pegang sekarang ini. Dengan berhutang, anda boleh beli lebih daripada anda mampu sekarang ini. Dengan hutang juga, anda boleh membuat pelaburan untuk meningkatkan produktiviti untuk menggandakan jualan.

Anda boleh cuba sedaya upaya untuk menidakkan hutang, namun dalam beberapa peringkat usia kehidupan, anda tidak dapat mengelakkannya. Pinjaman pendidikan, kereta baharu, rumah idaman, set perabot, serta mungkin makan tengah hari di kantin, semuanya melibatkan hutang.

Bagi seorang peniaga pula, hutang adalah aset. Lot perniagaan, perkakas dan mesin untuk pembuatan, bahan-bahan mentah yang akan ditukar menjadi barang siap, senarai berkenaan tidak akan terjadi tanpa hutang. Secara tersembunyi, nadi penting kepada ekonomi adalah hutang yang bergerak sekeliling kita.

Tiada siapa hendak cakap hutang tidak bagus. Hutang itu adalah baik dan kita akan berterusan cakap yang hutang itu baik, sehinggalah kita tidak mampu untuk membayarnya. Pada masa itu, mimpi ngeri pun bermula dengan panggilan-panggilan daripada pemiutang dan bank-bank yang memburu kita.

Pada siapakah yang hendak dipersalahkan? Tanyalah kepada mana-mana eksekutif, ahli perniagaan serta ahli akademik yang berjaya, pernahkah mereka dapat mengagak bahawa beberapa ekor kelawar di pasar di Wuhan, China mampu melumpuhkan ekonomi di seluruh dunia.

Senario terburuk akibat krisis kesihatan kini telah dibentangkan, pintu sempadan ditutup, import eksport tergendala, perusahaan gulung tikar, ribuan hilang kerja dan norma baharu mengambil tempat menggantikan perniagaan seperti biasa. Dengan kata lain, hidup seorang individu boleh berubah sekelip mata.

Ada satu perkara bagaimanapun masih tidak berubah, hutang anda masih melekat di pinggang anda. Kesenangan yang anda rasa setahun lalu itu sudah tawar dan anda melihat keliling anda, wajah-wajah ibu bapa, isteri, anak-anak dan ahli keluarga, masih bergantung harap pada anda.

Sudah tentu, perasaan bimbang ini tidak dialami oleh anda sahaja, kerajaan sekarang lebih pening kepala. Kerajaan perlukan rakyat berbelanja untuk ekonomi bergerak. Jika semua orang ikat perut, tidak ada duit yang bergerak. Tetapi kerajaan juga patut tahu, beban hutang yang dialami oleh rakyat ini bukan kepalang.

Pendapatan bukan lagi banyak seperti dahulu, lagipun ramai yang telah hilang kerja. Kalau ditanya orang meniaga, mereka lagi susah hati. Kita kena ingat, semasa mereka mula-mula berhutang dahulu, bayangan masa depan mereka cukup indah, tetapi realiti yang menghempap sekarang, tiada siapa pun menjangkakannya. Sekali lagi dimaklumkan, kelawar itu dari China.

Sekiranya Kementerian Kewangan dan Bank Negara mempunyai rasa ragu-ragu untuk campur tangan dalam urusan institusi kewangan, buangkan perasaan itu jauh-jauh kerana ini masanya untuk tangan masuk sepenuhnya ke dalam pekasam.

Sebagaimana pentingnya langkah moratorium diperkenalkan, begitulah juga mustahaknya untuk kita mempunyai polisi penstrukturan pinjaman yang lebih adil kepada semua orang. Hutang yang merupakan sistem ciptaan manusia ini tidak boleh menjadi alasan untuk hidup seseorang lebih tertindas.

Kemelesetan ekonomi seringkali dikaitkan dengan orang terjun bangunan. Kita tidak perlu orang menyatakan yang dunia telah berakhir, apa yang kita perlukan adalah orang untuk merawat kita yang sakit dan memberitahu segalanya akan lebih baik.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here