Kerajaan sedang rangka Rang Undang-undang Langkah Sementara – Mohamed Azmin

    0
    259

    KUALA LUMPUR  — Kerajaan sedang merangka Rang Undang-undang (RUU) Langkah Sementara untuk mengurangkan kesan sosial dan ekonomi susulan pandemik COVID-19, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Beliau berkata memandangkan penglibatan awam penting dalam usaha tersebut, maka platform perundingan secara dalam talian sedang dikendalikan dan ditadbir oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia.

    “Wujud kelebihan dalam setiap situasi sukar, justeru kita perlu mengubah krisis menjadi peluang dengan memanfaatkan aliran baharu muncul untuk mengurangkan wabak ini dan mencari pemboleh bagi pelaburan berkualiti dan mempercepat agenda pendigitalan secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada pelancaran Laporan Produktiviti 2020 di sini, hari ini.

    Beliau mengulangi bahawa pelaksanaan langkah bertahap oleh kerajaan dalam usaha menangani pandemik COVID-19 telah mencapai peringkat terkini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, yang telah menunjukkan hasil produktif.

    Mohamed Azmin turut menegaskan dalam pada itu Malaysia seharusnya tidak terlepas pandang mengenai kepentingan melindungi nyawa dan kehidupan.

    Ini susulan kadar pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus, sekali gus menunjukkan tahap keterukan pandemik COVID-19 yang telah mencetuskan gangguan dalam perniagaan, memaksa penutupan premis perniagaan, memutuskan rantaian bekalan serta kerugian dari segi kewangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, katanya.

    Beliau berkata walaupun operasi perniagaan perlu memanfaatkan teknologi dan inovasi, automasi dan pendigitalan dalam usaha berkembang maju, namun pada masa sama, kebolehkerjaan tenaga kerja juga perlu ditingkatkan.

    Inisiatif kemahiran semula dan kemahiran tambahan baharu bagi pekerja perlu dijalankan segera untuk mengurangkan pergantungan dengan pekerja asing, katanya.

    “Budaya kecemerlangan dan pemikiran produktiviti perlu diterapkan untuk menyediakan dorongan ke arah hasil produktiviti lebih tinggi serta membolehkan Malaysia merealisasikan aspirasi ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

    Mohamed Azmin berkata memandangkan perniagaan perlu kekal mampan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus melakukan yang terbaik untuk menyokong industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana di samping melonjakkan dan melindungi pekerjaan dan produktiviti pekerja.

    Beliau juga menekankan Malaysia tidak seharusnya terlepas pandang mengenai perlunya transformasi ekonomi yang pesat memandangkan negara lain di rantau ini juga sedang mengalami proses yang sama, malah ada yang mencapai kadar pantas.

    “Rancangan enam fasa atau 6R, iaitu ‘resolve’ (memutuskan), ‘resilience’ (berdaya tahan), ‘restart’ (pembukaan semula), ‘recovery’ (pemulihan), ‘revitalise’ (merancakkan semula) dan ‘reform’ (pembaharuan) yang diperkenalkan kerajaan telah disambut baik dan kita perlu melakukan yang terbaik dalam melangkah ke hadapan untuk mencapai sasaran jangka sederhana dan panjang,” katanya.

    Beliau berkata tindakan sistematik dan terancang yang diambil kerajaan, termasuk menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, selain Bantuan Prihatin Nasional, telah terbukti tepat pada masanya selain pantas dalam memberikan impak positif ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia, melindungi pendapatan dan kemampanan pekerjaan.

    — BERNAMA

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here