India haram Tik Tok, WeChat dan berpuluh aplikasi China

0
853

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KERAJAAN India mengharamkan berpuluh aplikasi buatan China, termasuk Tik Tok atas alasan kesemuanya membahayakan negara itu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata kesemua aplikasi tersebut “memudaratkan kedaulatan dan integriti negara, pertahanan India serta keselamatan dan ketenteraman awam.”

Sejumlah 59 aplikasi diharamkan, termasuk WeChat, lapor bbc.com.

Tindakan itu diambil oleh India berikutan ketegangan yang semakin serius di antara kedua-dua negara yang berpunca daripada pertikaian sempadan.

Pada Jun lalu India dan China telah menambah jumlah tentera di wilayah Ladakh yang merupakan sempadan sensitif di antara kedua-dua negara.

Baru-baru ini pergaduhan tercetus hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 20 anggota tentera India maut.

Imej-imej satelit terbaharu menunjukkan bahawa China telah membina beberapa struktur baharu di kawasan sempadan pergunungan Himalaya.

Kementerian Teknologi Maklumat India berkata pengharaman adalah berikutan aduan “daripada pelbagai sumber” kononnya kesemua aplikasi itu digunakan (oleh China) untuk “mencuri data pengguna”.

Cara pemerolehan data pengguna secara diam-diam oleh pihak yang bermusuhan dengan negara itu dianggap melanggar integriti India sebagai sebuah negara berdaulat.

Syarikat pengendali Tik Tok berpangkalan di Beijing dan pada mulanya aplikasi tersebut hanya popular di China sebelum menular ke serata dunia hingga menjadikan India sebagai pasaran terbesar dengan lebih 120 juta pengguna.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here