UAE ambil jurulatih Colombia hadapi Harimau Malaya

0
319
PERTEMBUNGAN Malaysia (jersi kuning) dan UAE di Bukit Jalil, 10 September lalu menyebelahi pelawat 2-1.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

LAWAN Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan disambung semula 8 Oktober ini, Amiriah Arab Bersatu (UAE) nekad menggaji seorang lagi ketua jurulatih baharu hanya dalam tempoh enam bulan.

Kali ini Persatuan Bola Sepak UAE (UAEFA) beralih selera kepada Jorge Luis Pinto yang amat dikenali kerana membimbing Costa Rica mara ke suku akhir Piala Dunia Brazil 2014 dengan mengetepikan Uruguay dan Itali serta mengikat England.

Laman sesawang the-afc.com melaporkan, khidmat warga Colombia berusia 67 tahun itu diikat UAEFA dengan kontrak dua tahun.

Dia berpengalaman meraih aneka kejayaan gelaran liga Colombia, Peru, Costa Rica dan Venezuela.

JORGE LUIS PINTO

Tanggal 4 Disember lalu, UAEFA memecat bekas jurulatih Belanda naib juara Piala Dunia 2010, Bert van Marwijk selepas Al Abyad kalah 4-2 kepada Qatar dalam Piala Teluk dan kemudian menggantikannya dengan Ivan Jovanovic.

Khidmat warga Serbia itu hanya bertahan dari 22 Disember 2019 hingga 6 April lalu apabila dipecat ketika negara beraja Asia Barat itu menjalani perintah berkurung ekoran penularan pandemik maut Covid-19.

UAE akan menanti kunjungan skuad Tan Cheng Hoe pada 8 Oktober dalam pusingan kedua kelayakan Kumpulan G di venue yang belum dipastikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana perlu memantau perkembangan semasa Covid-19 dan sekatan perjalanan keluar negara serta tahap kesihatan di benua ini.

Kelayakan ini ditangguhkan sejak jadual asalnya, 26 Mac lalu yang ketika itu Stadium Al Maktoum, Dubai dipilih sebagai venuenya.

Malaysia menghuni tempat kedua kumpulan selepas memungut sembilan mata di belakang Vietnam manakala enam mata meletakkan UAE ke kedua corot di hadapan Indonesia yang sudah pun tersingkir daripada perebutan tiket pusingan akhir Piala Dunia di Qatar.

SYAFIQ Ahmad sudah menggegar gawang UAE dan Indonesia dalam kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

UAE mengatasi Harimau Malaya 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil biarpun tuan rumah mengejutkan pelawat menerusi tandukan gol penyerang, Syafiq Ahmad dalam tempoh 33 saat babak pertama pertembungan 10 September lalu.

Selepas itu, skuad negara akan menghadapi Vietnam pada 13 Oktober di tempat sendiri dan bertandang ke Thailand bagi melengkapkan jadual kelayakan, 17 November ini.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberitahu, Bahrain akan menjadi lawan pemanas badan skuad negara pada 2 Oktober sebelum ke Dubai di venue berdekatan.

“Perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa yang turut menawarkan mata ranking dunia ini hanya akan disahkan selepas FAM mendapat kelulusan Jabatan Imigresen untuk pasukan kita keluar negara,” katanya kepada BebasNews.

Bahrain terpaksa membatalkan jadual asal persahabatan menentang Malaysia, 21 Mac lalu di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town apabila kerajaannya melarang perjalanan keluar masuk negara itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here