‘Diskriminasi penghidap HIV melanggar undang-undang’

0
128

Malaysia perlu menggubal dasar yang akan menyediakan sokongan kepada mereka yang menghidapi HIV, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Diskriminasi terhadap penghidap HIV adalah menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima pada zaman ini,” kata Mahathir.

Perdana menteri berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Tun Dr Siti Hasmah anjuran Majlis Aids Malaysia di Hotel Hilton, Kuala Lumpur malam tadi.

Menjelaskan lanjut, Mahathir berkata stigma (rasa aib) terhadap penghidap HIV menjadi penghalang terhadap Malaysia dalam menangani penyebaran virus itu.

“Stigma dan diskriminasi menjadi penghalang Malaysia menangani penyakit ini. Kerana rasa aib, orang cukup berjaga-jaga untuk mengambil langkah pertama melalui ujian kesihatan.

“Pemeriksaan ini merupakan kunci untuk mengetahui keadaan seseorang dan jika diuji positif, mereka boleh bergerak ke hadapan bagi mendapatkan rawatan yang perlu.

“Seterusnya membolehkan mereka melalui kehidupan yang dapat dikatakan sebagai normal, sihat dan berdaya saing,” kata ucapan itu.

Jangan menghukum secara moral

Menurut Mahathir perangkaan menunjukkan sehingga 89 peratus daripada penghidap HIV di negara ini adalah mereka yang berada pada usia produktif dan membentuk majoriti penduduk yang bekerja.

“Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk melabur dalam dasar yang akan memberi sokongan kepada mereka yang dijangkiti HIV di tempat kerja.

“Untuk tujuan ini, inisiatif oleh Konsortium Perniagaan Malaysia bersama Yayasan AIDS Malaysia (MAF) untuk mewujudkan peraturan bagi melindungi hak dan menguruskan pekerja positif HIV di tempat kerja perlu diberi perhatian,” katanya menjelaskan penyakit itu mempunyai kesan secara langsung kepada perniagaan.

Dalam menangani penularan HIV, perdana menteri menggesa masyarakat supaya menjadi lebih pragmatik dan jangan menghukum secara moral.

“Kami perlu menjadi pragmatik. Kami perlu terus menyelamatkan nyawa. Semua pihak berkepentingan perlu dibenarkan melakukan tugas mereka sama ada dalam pendidikan seks atau mempromosikan konsep seks selamat,” katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, Siti Hasmah menyampaikan anugerah kepada pengasas sebuah rumah perlindungan, Matron Fadzilah Abdul Hamid atas sumbangannya terhadap usaha membantu penghidap HIV dan pesakit AIDS.

Rumah perlindungannya menyokong lebih 400 wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV.

Turut hadir majlis ialah Penaung Yayasan Aids Malaysia, Marina Mahathir, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dan pengerusi yayasan Dr Adeeba Kamarulzaman.

https://www.malaysiakini.com/news/456456
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here