Inter Milan guna jersi baharu buatan Indonesia

0
1041

ANGGUN… Mungkin ada menyangka baju dipakai pemain kelab ternama Itali ini dibuat di Milan sendiri yang terkenal sebagai kota fesyen global namun hakikatnya tekaan itu salah sama sekali.

Jersi terbaharu yang bakal digunakan para pemain bola sepak pasukan gergasi Inter Milan ini pada musim 2020/2021 sebaliknya hasil buatan dari sebuah negara di Asia tenggara, Indonesia.

Skuad diberi gelaran La Beneamata atau Nerazzurri itu malahan turut mempamerkan baju rasmi pemain tersebut menerusi akaun sosial rasmi Instagram mereka yang memiliki 5.2 juta pengikut.

Dalam foto yang dimuat naik itu, jersi baharu tersebut masih lagi kekal belang berwarna biru dan hitam secara menegak yang sinonim sebagai identiti kelab sejak ditubuhkan pada 1908 lepas.

Bagaimanapun, baris lurus itu digantikan dengan garisan beralur liku atau zig-zag seumpama gelombang ombak di pantai, perubahan ketara yang cuba lari dari corak tipikal dari pasukan lain.

Logo firma penaja utama iaitu Pirelli namun masih terpampang di bahagian tengah, manakala di bahagian kanan dada terdapat logo Nike yang merupakan penaja peralatan sukan kelab elit itu.

Lambang Inter Milan, yang berbentuk bulatan dengan huruf rumi FCIM dicipta Giorgio Muggiani lebih 100 tahun lalu itu, juga masih terpampang megah di bahagian kiri dada jersi berkenaan.

Rahsia negara yang menghasilkan baju itu terbongkar apabila pihak kelab mempamerkan sisi dalam bahagian punggung jersi tersebut untuk menunjukkan nama negara asal pembuatnya.

Tulisan ‘Made in Indonesia’ atau Buatan Indonesia jelas tertera sebagai informasi bahawa jersi baharu pasukan profesional negara Eropah itu sah merupakan produk yang dibuat di Indonesia.

Perkara unik itu menyaksikan hantaran tersebut menerima sambutan luar biasa para peminat dengan lebih 195,000 tanda suka dan hampir 3,000 komen netizen termasuk dari luar negara.

Salah seorang pengguna akaun sosial Instagram dengan nama hendrawan.13 yang berasal dari Indonesia dalam reaksinya menulis dia berasa bangga apabila negaranya dipilih buat jersi itu.

“Bangga buatan Indonesia,” tulisnya yang turut dibalas ramai lagi netizen dari negara terbesar di rantau ASEAN itu ketika ulas hantaran dimuat naik pihak pentadbir Inter Milan pada 1 Julai lalu.

Untuk rekod, usahawan terkenal Indonesia yang kini ialah Menteri Badan Usaha Milik Negara, Erick Thohir pernah jadi pemilik saham terbesar dan presiden kelab itu dari 2013 hingga 2018.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here