Ketepikan pemimpin tua demi negara

0
535
Oleh Ahmad Abd Hamid

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu lebih ramai golongan belia melibatkan diri dalam politik, bukan orang tua berebut kuasa.

Dengan nada sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan juga menekankan lebih ramai belia perlu memainkan peranan dalam politik, ekonomi dan pembinaan negara.

Bagi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, sudah sampai masanya negara ini ‘membuang’ atau beralih daripada cara lama, atau dengan kata lain terlalu bergantung kepada pemimpin lama.

Mungkin secara kebetulan bekas Menteri Belia dan Sukan merangkap bekas Ketua Armada Bersatu dan ADUN Rantau mengutarakan pandangan serupa walau pun daripada kem berlainan.

Lebih menarik kerana umum mengetahui Syed Saddiq adalah penyokong setia kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini masih berusaha menjadi perdana menteri ke-9 pada usia 94 tahun.

Justeru ada yang beranggapan kenyataannya seolah-olah satu sindiran kepada idolanya sendiri kerana Tun masih mahu menjadi perdana menteri pada usia lanjut.

Jika begitu, pendirian Syed Saddiq ini seolah-olah menyampaikan mesej agar Tun berundur dan memberi laluan kepada golongan belia.

Atau mungkinkah dia hanya bermaksud lebih ramai belia wajar terlibat dalam politik sebagai landasan mengambil alih kepimpinan sementara pemimpin yang berpengalaman dibiarkan dahulu menerajui untuk membimbing golongan belia ini.

Namun pada masa sama, kita tidak harus lupa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sedang berusaha menjadi perdana menteri pada usia 72 tahun. Sudah dianggap tua juga!

Barangkali melihat kemelut persaingan Tun dan Anwar ini juga mendorong Syed Saddiq mencadangkan penglibatan golongan belia sebagai jalan penyelesaian.

Bagaimana pula dengan Mohamad Hassan atau Tok Mat? Adakah saranannya juga didorong oleh sentimen bahawa ramai pemimpin sekarang adalah orang lama yang wajar diganti?

Padanya, generasi muda yang dianggap lebih dinamik dan bertenaga wajar berperanan lebih aktif mencorakkan politik, ekonomi dan pembangunan negara. Kerana itu, orang lama perlu memberi laluan. Bersediakah mereka?

Namun dalam UMNO sendiri kebanyakan peneraju adalah orang lama, daripada Presiden sehinggalah kepada Naib Presiden atau pemimpin peringkat lain.

Selepas kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, ramai berharap akan ada perubahan kepimpinan dalam UMNO. Ramai mahu barisan muda pula memimpin parti.

Namun keputusan pemilihan menyerlahkan sebaliknya. Orang muda seperti Khairy Jamaluddin yang bertanding untuk jawatan presiden tewas. Sebaliknya yang masih terus terpilih ialah orang lama.

Ini hanya menggambarkan orang lama sukar memberi laluan kepada generasi muda kerana merasakan mereka masih relevan dan masih boleh memimpin parti.

Malah ia juga menunjukkan ahli-ahli parti sendiri tidak bersedia membuat perubahan kerana mereka yang memberi undi dan memilih barisan kepimpinan.

Jadi jika sudah begitu minda mereka, adakah apsirasi Syed Saddiq atau Tok Mat ini boleh direalisasikan? Adakah golongan belia atau golongan muda boleh menawarkan diri sebagai pemimpin dan dipilih?

Rasanya tidak semudah itu untuk golongan muda memecahkan tembok ‘orang lama’ yang sudah lama berdiri kukuh selagi orang lama ini tidak membuka pintu laluan.

Kerap sebelum ini kita mendengar betapa golongan muda yang terpelajar hendak berjinak dalam politik disekat dan dicantas kerana bimbang mereka yang dianggap lebih cerdik akan menggugat kedudukan orang lama.

Selagi sikap ini tidak berubah, dan selagi orang lama serta pendokong parti tidak mahu perubahan berlaku, tidak banyak ruang harapan untuk golongan muda menggapai hiraki kepimpinan.

Barangkali Syed Saddiq dan Tok Mat pun menyedari hakikat ini!

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here