PKPP: Harimau Malaya pindah ‘kandang’ Cheras tentang Vietnam?

0
551
PENJARAKAN sosial para penyokong atau dilangsungkan di venue kosong apabila Harimau Malaya menentang Vietnam, 13 Oktober ini mungkin diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan PKPP pada 9 Julai ini. - Foto FAM

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

PERINTAH Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga dikenakan bagi kehadiran penyokong ke stadium dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023?

Apakah Stadium Nasional, Bukit Jalil terlalu besar untuk menjadi tuan rumah perlawanan Malaysia-Vietnam pada 13 Oktober ini jika berdasarkan kenyataan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akhir bulan lalu.

Status penganjuran sebarang kejohanan sukan di Malaysia termasuk menyambung semula Liga Malaysia pun hanya dapat diketahui dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan PKPP pada 9 Julai ini.

Beliau ketika itu memberi contoh stadium yang mempunyai kapasiti 30,000 penonton, mungkin hanya dihadkan kepada 5,000 hadirin bagi mematuhi tatacara pelaksanaan piawai (SOP) penjarakan sosial.

Stadium Nasional, Bukit Jalil mencatat kehadiran terbesar, 75,454 orang yang melibatkan aksi Harimau Malaya sepanjang tahun lalu ketika membaham Indonesia 2-0 dalam pertembungan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan itu pada 19 November 2019.

‘Rumah rasmi’ skuad Tan Cheng Hoe ini mampu memuatkan sehingga 90,000 orang dalam sesuatu masa tetapi kadangkala terpaksa dihadkan atas sebab-sebab keselamatan terutama jika mengambil kira sejarah ‘perseteruan’ dua pasukan terbabit.

Angka kehadiran kedua terbesar di situ, juga dalam kelayakan tersebut ialah 43,200 penonton ketika UAE mengatasi Malaysia 2-1 pada 10 September lalu diikuti 38,735 orang menyaksikan tuan rumah mengalahkan Thailand 2-1 tanggal 14 November lalu.

Pilihan lain yang terdekat bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memudahkan kemasukan 5,000 penonton sahaja ialah mungkin Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang bermuatan sekitar 18,000 orang.

WINDSOR PAUL JOHN

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya masih memantau daripada segala aspek berhubung venue Malaysia-Vietnam itu malah dua lagi aksi skuad negara di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand pada 8 Oktober dan 17 November.

“Kami masih dalam perbincangan dan sedang memantau segala sudut. Tarikh (semua perlawanannya) sudah muktamad buat masa ini (tetapi) maklumat (venue-venuenya) akan diperoleh sedikit masa lagi,” katanya.

Baki aksi pusingan kedua kelayakan itu tertangguh sejak 26 Mac lalu gara-gara penularan pandemik maut Covid-19 dan sekatan perjalanan serta pergerakan umum di seluruh dunia.

Mengenai kemungkinan baki kelayakan ini hanya wajar dilangsungkan di stadium kosong tanpa penonton supaya lebih selamat dan mengelakkan rantaian baharu Covid-19, katanya, “(situasi sekarang) menuju ke arah terkawal.

SKUAD negara (jersi kuning) tewas 1-0 kepada Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi pada 10 Oktober lalu. – Foto FAM

“(Namun) kami juga sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat Jawatankuasa Perubatan AFC dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa),” katanya.

AFC juga katanya, memberikan ruang kepada negara-negara ahli gabungannya untuk menyambung semula liga tempatan masing-masing mulai September ini supaya dapat menyediakan pemain-pemain yang cergas selepas lama tidak beraksi menjelang jadual perlawanan antarabangsa.

“Masing masing mesti membuat perancangan yang terbaik (bagi kelayakan itu),” katanya, merujuk kepada jadual sambungan liga negara tertentu yang berbeza-beza mengikut situasi Covid-19 mereka antaranya Korea Selatan dan Vietnam.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here