Jangan abaikan kebajikan artis veteran

0
937

Oleh Arrazaq Nazri

KLANG — Sebak dan menyedihkan apabila melihat keadaan artis veteran yang terpaksa hidup berteduh di rumah anak-anak walaupun sepanjang usia mereka abdikan diri untuk menghiburkan hati rakyat negara ini.

Begitulah luahan Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk Abdul Malik Ridzuan semasa melawat pelawak veteran, Hamid Gurkha di rumahnya di Taman Seri Andalas di sini.

Menurut pelantun lagu Cukup Sampai Di Sini itu, pihak Kerajaan sewajarnya membantu golongan tersebut memiliki rumah dan tanah sendiri serta memberi elaun khas kepada mereka.

“Sedih saya melihat nasib artis veteran yang mengharumkan nama negeri Selangor tetapi tidak mempunyai tanah mahupun rumah sendiri. Ketika diperlukan artis-artis ini dicari namun kini mereka tidak dipedulikan.

“Abang Hamid saya kenal dari umur saya 13 tahun hingga umur dia sekarang 88 tahun. Tiada rumah atau tanah hanya duduk menyewa dan kini menumpang rumah anaknya,”katanya kepada pemberita semasa Program Ziarah Prihatin bersama NGO di Taman Seri Andalas di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah wakil Orang Besar Daerah Klang, Datuk Nor Shabudin Monil, Pengerusi NGO Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor, Muhd.Ali Zakariah dan artis, Datuk Nash.

Abdul Malik berkata, beliau berharap pihak Kerajaan Persekutuan hari ini dapat mewujudkan satu skim bantuan rumah dan elaun khas
kepada golongan artis veteran seperti Hamid.

“85 peratus artis hidup dalam kesusahan, hanya 15 peratus artis yang hidup senang. Bantulah dalam bentuk kewangan untuk artis veteran yang berusia 55 tahun ke atas, golongan ini bukannya ramai.

“Kepada penerbit filem, ambillah pelakon veteran berlakon watak orang tua yang sebenar bukannya memberi watak orang muda menjadi orang tua. Berilah mereka sumber rezeki,”katanya.

Sementara itu, Hamid yang kini menghadapi masalah pendengaran berkata, beliau tidak mempunyai rumah dan bantuan dari mana-mana pihak.

“Saya pun sudah bersara dari bidang lakonan atas faktor kesihatan dan usia.Saya tidak mahu disebabkan saya, pengarah muda marah-marah di depan artis muda jika berlaku kesilapan,”katanya.

Katanya lagi, beliau menghargai setiap sumbangan rakan artis dan pihak NGO yang datang melawatnya termasuk Datuk Awie baru-baru ini.

Pesannya kepada artis hari ini, supaya tidak sombong dan bersikap rendah diri dengan peminat yang menyokong mereka.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here