Sukar sangatkah mematuhi SOP?

0
626

PETANG ini dalam sidang akhbarnya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membangkitkan mengenai ada dalam kalangan orang ramai yang mula mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di tempat awam termasuk di rumah ibadat.

Beliau menegaskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) belum berakhir. Selagi tidak ada vaksin, virus Covid-19 masih ada di sekeliling kita. Walaupun tidak ada polis atau pihak berkuasa yang memerhati di semua tempat, masing-masing bertanggungjawab untuk menjaga diri dan masyarakat sekeliling. Justeru kawalan kendiri amat penting dengan mematuhi SOP.

Sukar sangatkah untuk mematuhi SOP? Ingatlah jika berlaku penularan kes secara mendadak, sekatan baharu boleh dikenakan. Contohnya solat berjemaah yang masih dilakukan dalam norma baharu. Sebelum apa yang dinikmati sekarang ditarik balik, di mana sahaja kita berada, patuhilah SOP. Jangan tunjuk lagak atau kebal.

Contohnya norma baharu solat di masjid atau surau. Tiga perkara sebelum melangkah keluar dari rumah. Pertama berwuduk, kedua bawa pelitup muka dan ketiga sejadah. Semuanya ada kaitan dengan pencegahan wabak Covid-19. Berwuduk dari rumah memang digalakkan. Beberapa hadis sudah lama mengingatkan perkara ini.

Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke masjid untuk mendirikan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT, maka langkahan pertama menghapuskan dosanya, dan langkahan kedua mengangkat darjatnya,”.- (Riwayat Muslim (666))

Begitu juga dengan hadis ini : “Barangsiapa yang berwudhu untuk solat secara sempurna, kemudian berjalan untuk mengerjakan solat fardhu bersama orang ramai, atau secara berjemaah atau di masjid, Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya,” (Riwayat Muslim (232) dan al-Nasa’ie (856)

Sampai di masjid dan surau, daftar nama atau imbas kod melalui Sejahtera Malysia atau SELangkah (Selangor). Ambil bacaan suhu sana ada tembak sendiri atau ditembak pegawai bertugas. Gunakan sanitizer kemudian melangkah masuk ke dalam dewan solat. Hampar sejadah mengikut ruang yang disediakan . Ada pelbagai tanda dibuat di atas karpet atau lantai dalam jarak 1 meter. Ikutlah arahan.

Kepada yang tidak sihat atau mempunyai simptom seperti selesema atau batuk, solatlah di rumah. Elakkan diri daripada berada di masjid atau surau. Bukan mahu menghalang tetapi demi kepentingan bersama.

Ingatlah adalah menjadi tanggungjawab setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari tempat-tempat awam, termasuk masjid, agar orang yang sihat tidak dijangkiti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Nabi SAW juga telah memerintahkan mereka yang berada di tempat wabak untuk tidak keluar dari kawasannya. Mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ikut sajalah SOP yang diperintahkan oleh mereka yang lebih arif berkaitan kesihatan. Contohnya tidak bersalam atau berpeluk ketika bertemu rakan kerana kita tidak tahu siapa pembawa virus. Jika tidak berlaku sesuatu tidak apa tetapi apabila berlaku kes jangkitan, mulalah sana sini dipersalahkan. Justeru patuh SOP, kita jaga kita. Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, dan kita jaga negara. Kalau bukan kita, siapa lagi.

Setiap apa yang diatur oleh pihak kerajaan bukan sekadar suka-suka tetapi ada kaitannya dengan apa yang telah berlaku pada masa lampau termasuk ketika wabak taun. Justeru ikutlah arahan yang dikeluarkan pemerintah.

Daripada Abdullah RA, daripada Nabi SAW bersabda : “Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati.” (Riwayat al-Bukhari : 7144, Muslim : 1839, Abu Dawud : 2626, At-Tirmizi : 1707)

Apa yang penting kita dapat solat berjemaah walaupun dibatasi SOP. Kejar ganjaran yang telah lama tertinggal. Ingatlah : “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat Isyak dan solat al-Fajar (Subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” [Riwayat Muslim (651)]

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here