Tiba masa Malaysia hidup semula Suara Malaysia versi TV global

0
1074

Oleh AMREE AHMAD

JIKA bukan kerana ada slot 101 East bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ disiarkan Al Jazeera, rakyat kita mungkin tidak begitu peduli sangat perihal stesen penyiaran dari Qatar itu.

Namun, program dokumentari selama 20 minit ini tanpa publisiti besar telah menyebabkan rating stesen berita global itu jadi popular di Malaysia waima dalam konteks respons yang agak negatif.

Ini semua gara-gara seorang lelaki warga Bangladesh menetap di negara kita, M. Rayhan Kabir memfitnah kerajaan Malaysia konon layan buruk pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu kota.

Meskipun wawancara eksklusif koresponden Al Jazeera biro Kuala Lumpur itu telah dibuat pada 10 Mei, stesen berpusat di Doha ini ambil masa dua bulan sebelum rakaman tersebut ke udara.

Ia secara tidak langsung bermaksud dalam tempoh itu, wartawan terbabit ada masa cukup untuk dapat maklum balas dari pihak Jabatan Imigresen Malaysia, tetapi ini tidak pernah pun berlaku.

Maka, netizen tempatan mula ‘kecoh’ apabila tular pembohongan M. Rayhan yang rupa-rupanya ketua pemberita portal narayanganj24semven.com dan sukarelawan PATI dikenali Migrants88.

Setakat ini, pihak Kementerian Luar belum terbit sebarang kenyataan rasmi, malahan Kedutaan Malaysia di Qatar juga tidak keluar pun nota bantahan kepada stesen milik kerajaan negara itu.

Ironi, imej baik negara kita telah dipandang buruk komuniti dunia dek cerita bohong rakyat asing ini dan mungkin agenda tersembunyi Al Jazeera yang memang sejak dahulu tegar anti-Malaysia.

Mungkin dalam hal ini, belum terlambat bagi kerajaan untuk belajar contoh negara jiran terdekat, Singapura yang gah tangkis berita palsu serang republik itu menerusi Channel NewsAsia (CNA).

Stesen milik agensi pemerintah, MediaCorp Pte. Ltd. itu ditubuhkan sejak 1999 bagi ambil alih fungsi pernah dimainkan Radio Singapore International (RSI) yang kemudian ditutup pada 2008.

Dari segi sejarah, ‘pesaing’ RSI ketika itu ialah Suara Malaysia atau Voice of Malaysia (VoM) yang diwujudkan lebih awal pada 1963 bagi ‘lawan’ diayah kempen jahat konfrontasi oleh Indonesia.

Malangnya, apabila VoM dimansuh pada 2011, peranan sebagai alat propaganda antarabangsa ini dibiarkan ‘vakum’ oleh kerajaan waktu itu yang agak optimis bantuan media massa tempatan.

Kepimpinan negara masih berfikiran ‘tradisional’ dengan cuma bergantung harap portal Bernama dan Utusan Online sebagai jurucakap bagi jelas dasar kerajaan kepada rakyat di seluruh dunia.

Akibat ‘kekosongan’ medium ini, tanpa disedari imej kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu mula jatuh dan kemuncaknya tumbang masa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 lalu.

Natijahnya, peranan stesen penyiaran global bukan sekadar siar berita tempatan kepada warga dunia seperti Perbadanan Penyiaran British (BBC) atau Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK).

Contoh paling sesuai ialah Korea Selatan yang bangga dengan kehebatan Arirang TV bagi sebar diayah hasut rakyat Korea Utara untuk belot berpaling tadah sejak diwujudkan pada awal 1997.

Model ini diikuti jirannya, China mewujudkan CCTV-9 iaitu saluran antarabangsa pihak Beijing dan kemudian diubah nama kepada China Global Television Network (CGTN) pada 2016 lepas.

Hakikatnya, banyak negara di dunia sudah lama aktif dengan stesen penyiaran sejagat sebagai ‘lidah rasmi’ kerajaan bagi perangi berita palsu jahat disebar musuh mereka sepanjang masa.

Contoh terbaik boleh dipelajari ialah Iran melalui Press TV dilancarkan oleh kerajaan Syiah itu pada 2007 lalu dan Turki menerusi TRT World yang mula beroperasi dari Istanbul sejak 2015.

Malaysia tidak wajar ketinggalan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) seharusnya ‘pecah’ saluran khas Berita yang dirasmikan pada bulan lalu kepada siaran domestik dan antarabangsa.

Ketika ini, stesen itu hanya dapat ditonton sama ada atas talian melalui laman rasmi MyKlik RTM dan saluran 123 myFreeview yang cuma diikuti lebih lima juta isirumah dengan dekoder MYTV.

Barang kali dalam hal ini, model paling sesuai dicontohi ialah Voice of America (VoA) diwujudkan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada 1942 yang waktu itu misinya bagi era Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun selepas itu, fungsi VoA berubah semacam BBC yang ditubuh atas piagam diraja Istana Buckingham pada 1922, malah stesen ini bukan pun bawah pentadbiran kerajaan British.

Peranan VoA pernah ditiru VoM tetapi siaran antabangsa RTM itu ‘pupus’ awal akibat tanggapan salah konon tiada siapa mahu dengar 10 saluran bahasa berbeza dipancarkan ke seluruh dunia.

Kini, lihatlah apa berlaku apabila Al Jazeera bebas siar berita fitnah kerana Malaysia sudah tiada medium bagi tangkis, walhal VoA ketika ini hebat ada 47 saluran bahasa pertahan imej gah AS.

Bayangkan di AS sendiri, rakyat negara itu lebih percaya VoA setanding BBC, NHK, CGTN, TRT waima CNA, berbanding berita disiarkan CNN yang dianggap tiada kredibiliti dan berat sebelah.

Sesungguhnya, ini harus dijadikan teladan oleh pihak RTM dan kerajaan kerana meskipun dunia semakin canggih teknologi siber, peranan stesen penyiaran global tidak wajar dipandang rendah.

RTM sebenarnya dari segi kemampuan fasiliti sudah mampu wujud saluran khas berita peringkat sejagat dan kini terpulang sama ada mahu buat atau biar Malaysia terus ‘dibuli’ oleh negara luar.- BebasNews

*Artikel ini hanya merupakan pandangan peribadi penulis semata-mata.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here