Tangguhkan naturalisasi, fokus bakat perantau Malaysia

0
970
KOBE JAE CHONG

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

MOHAMADOU Sumareh, Liridon Krasniqi dan rasanya cukuplah buat sementara ini atau dalam tiga empat tahun ini tangguhkan dulu Program Pemain Naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Seorang kelahiran Gambia sudah dua tahun menyarung jersi Harimau Malaya dan manakala bekas warga Kosovo itu mungkin berpeluang merasainya apabila pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 disambung semula, 8 Oktober ini.

Program ini turut menyasarkan pencarian bakat-bakat muda import dalam saingan Liga M3 (dulunya Liga FAM) mulai musim 2020 yang terpaksa dibatalkan kerana Covid-19 di samping Piala FA, Piala Pencabar, Piala Belia dan Piala Presiden.

Kini masanya untuk FAM beralih fokus tenaga dan masa malah mungkin wang kepada pemain-pemain remaja anak jati atau yang berdarah warisan Malaysia yang berpangkalan di luar negara.

DECLAN dan Ryan Lambert.

Lebihkan pemantauan berkala terhadap karier mereka menerusi hubungan langsung sekretariat persatuan mahupun jurulatih negara dengan kelab dan akademi masing-masing.

Mungkin perlu ada serba sedikit insentif FAM semacam elaun latihan luar negara kepada pemain perantauan ini yang cuba ‘berhujan emas di negeri orang’, supaya mereka satu hari nanti rela berkorban dan terasa dihargai untuk ‘kembali berhujan di negeri sendiri’.

Luqman Hakim Shamsudin khabarnya kian pasti melangkah ke kelab Liga Jupiler Belgium, KV Kortrijk milik saudagar Malaysia, Tan Sri Vincent Tan manakala manakala Muhammad Adam Nadzmi Zamri dan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal dilaporkan kian mencipta nama dengan akademi luar negara.

Adam, 18, kini beraksi bersama Akademi Bola Sepak BISP Cruzeiro cawangan Phuket, Thailand dan Wan Kuzri, adik bintang Sporting City Kansas Liga Bola Sepak Utama (MLS Amerika), Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal pula menyertai Akademi St. Louis, Missouri.

Sebuah kelab Serbia, Red Star Belgrade (pembangunan) baru-baru ini dilaporkan media sosial, berjaya mendapatkan khidmat bakat dari Malaysia, Omar Raiyan Kama Azlan.

QUENTIN Cheng (belakang, tiga dari kanan) bersama skuad Sukan SEA 2019.

Baru berusia 16 tahun , remaja kelahiran Amiriah Arab Bersatu (UAE) ini juga mulai menyertainya sejak Ramadan lalu. Bapanya, Kama Azlan Muhammad berasal dari Batu Pahat, Johor.

Juga dianggap perantara berbakat besar, Omar dikatakan pernah menyertai akademi Manchester City ketika masih berusia sembilan tahun.
Dia juga pernah membantu pasukannya memenangi Piala Iber, tahun lalu, kejohanan sama yang pernah dimenangi skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) pada 2015.

Sekiranya terus menyerlah di kelab bekas juara Eropah era 90-an itu, Omar pasti jadi pertaruhan terbaik Malaysia dalam Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC di Uzbekistan, Oktober ini, Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Asia Hangzhou 2022.

Perantara menyerang kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong, 19, pula mempunyai pengalaman berjuang dengan beberapa kelab ternama Eropah seperti Cagliari (Itali) dan Wolverhampton Wanderers (England).

“Satu penghormatan besar sekiranya saya dipanggil bagi beraksi bersama pasukan kebangsaan oleh FAM. Bangga untuk berbakti buat Malaysia dan berbaloi dengan usaha keras saya selama ini,” katanya dalam laman sosialnya.

Laporan dari negara ‘kincir angin’ menyebut, Declan Lambert dan Ryan Lambert pula dilaporkan menandatangani kontrak selama dua musim sebagai benteng dan perantara kelab divisyen dua Belanda, FC Den Bosch.

Pasangan kembar berusia 22 tahun kelahiran ibu kota ini mempunyai ibu warga Malaysia manakala bapanya berasal dari England.

Empat lagi bakat muda negara dikatakan memikat pengurusan akademi FC Malaga City, Sepanyol iaitu Allee Putra Azril, Aniq Asri Nasharudin Elias, M. Devekumaran dan Ahmad Mubashshir Azizi.

Jangan pula FAM abaikan langsung perantara skuad Bawah 21 Tahun sebuah kelab Australia, Quentin Cheng yang telah turut pulang menyahut panggilan pertiwi dalam Sukan SEA Filipina 2019 ketika Wan Kuzri kempunan kerana masalah pasport.

Pemain berusia 21 tahun kelab Central Coast Miners ini malah menyumbangkan satu gol pada minit akhir terhadap Kemboja biarpun skuad Datuk Ong Kim Swee tewas 3-1 dan terlepas tiket separuh akhir di Manila.

Apa jadi kepada Quentin sekarang? Perlulah sentiasa diambil tahu di samping saudaranya, Braden yang kini bermain untuk North Shore Mariners dalam Liga A.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here