Johari Salleh mahu kongsi ‘khazanah’ miliknya

0
1053

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

ORANG seni tidak kira sama ada mereka seorang pemimpin orkestra, komposer atau penulis lirik, jiwa mereka memang halus dan mudah tersentuh.

Apa jua yang menjentik hati dan perasaan mereka akan dizahirkan dalam sebuah lagu dengan melodi yang indah dan lirik yang puitis dan menyentuh hati siapa sahaja yang mendengarnya.

Dari sifat sensitif dan jiwa seni mereka yang menzahirkan pelbagai irama dan lagu itulah yang telah mewarnai dunia seni tanahair sehingga hari ini.
“Bayangan Senja” lagu ciptaan Johari Salleh pada tahun 1959. Koleksi daripada Azlan Mohamed Said.

Tidak kira mereka lahir dalam dunia seni pada era 1950an atau tahun milenium 2000, apa yang pasti idea dan jiwa seni itu tidak pernah ada tarikh luput!

Begitulah dengan maestro, Profesor Datuk Dr. Johari Salleh. Meskipun usianya sudah mencecah 80 tahun, beliau yang mula melayari hidup sebagai seorang pemimpin orkestra, komposer dan penulis lirik sejak tahun 1958 pada usia 18 tahun masih mampu berkarya hingga hari ini.

Sebab itu, jangan terkejut setelah 62 tahun berkarya beliau bukan sahaja mampu menggubah semula sesebuah lagu menjadi lebih indah dan membuai perasaan siapa sahaja yang mendengarnya.

Malah Profesor Ikhtisas Pusat Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak tahun 2015 sehingga hari ini, masih ingat berapa banyak lagu ciptaan beliau sehingga kini.

“Memang ramai yang beranggapan saya hanyalah seorang pemimpin orkestra tetapi dalam diam saya telah mencipta 200 lagu dan saya juga menulis lirik untuk sebahagian daripada lagu ciptaan saya itu.

“Sebenarnya sudah lama saya fikirkan untuk ‘menjejak karya’ saya kerana bagi saya ia adalah khazanah negara tetapi disebabkan sibuk dengan tugas harian di UKM saya terpaksa melupakannya,” kata Johari Salleh ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB sehinggalah hari ini PKPP untuk menyekat penularan pandemik Covid-19, beliau berjaya menjejaki 130 daripada 200 lagu ciptaannya.

Katanya, hampir 100 hari terkurung di rumah memberi ruang kepadanya menjejaki lagu-lagu ciptaannya melalui youtube, internet dan juga Musika Filem Melayu.

Johari Salleh menggunakan waktu tersebut untuk menjejaki lagu-lagu ciptaannya sama ada yang dirakamkan ke piring hitam atau dinyanyikan dalam rancangan terbitan Radio Singapura dan RTM.

Bukanlah sesuatu yang mudah tetapi menyedari itu adalah ‘khazanah’ yang amat berguna dan boleh dijadikan bahan rujukan bagi pelajar bidang muzik beliau tidak pernah jemu berusaha.

Beliau yang menyertai Pusat Kebudayaan UKM sebagai Felo Tamu (2004-2009), Felo Kanan (2009-2011), Felo Utama (2011-2015) dan sejak 2015 sehingga hari ini sebagai Profesor Ikhtisas, berusaha menjejaki lagu-lagu ciptaannya sejak tahun 1950an sehingga hari ini kerana mahu pelajar muzik mendalami lagu-lagu yang ada jiwa Melayu.

“Bayangkanlah ketika itu saya serahkan begitu sahaja lagu ciptaan saya tanpa merekodkan sesuatu apabila penyanyi, penerbit album ataupun pengurus syarikat rakaman meminta lagu saya bagi tujuan rakaman.


PROJEK Mega – Isabella ‘98 gubahan muzik oleh Johari Salleh dinyanyikan oleh Amy Search, Datuk Jamal Abdillah, Saleem dan Zamani/Ehsan: Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd.

“Bagaimanapun apabaila kerajaan mengenakan PKP, pada hari kedua saya meminta izin pihak pentadbiran UKM selama sejam untuk memasukki pejabat saya dan mengambil barang-barang peribadi saya seperti external hard disc, memory bank dan beberapa bahan lagi untuk saya bekerja dari rumah dalam bidang muzik.

“Sejak hari ketiga PKP sampai hari ini saya berjaya menjejaki 130 lagu ciptaan saya bermula pada tahun 1958 sehingga hari ini dengan lagu pertama Rayuan Hasratku diikuti Bayangan Senja nyanyian Adnan Zain,” kata Johari Salleh.

Rayuan Hasratku mencatatkan kenangan indah buat Johari Salleh kerana lagu pertamanya itu dirakamkan dengan iringan Orkestra Cahaya dalam sebuah rancangan Radio Singapura pada tahun 1958.
“Gadis dan Bunga” nyanyian Rahimah Rahim. Lagu dan lirik oleh Johari Salleh dan dirakamkan pada tahun 1983.

Bagaimanapun pada tahun 1962, lagu itu dirakamkan semula dalam bentuk komersial oleh Datuk Ahmad Jais (Allahyarham) dan Allahyarham Zain Azman merakamkannya dalam rentak jazz dengan iringan Orkestra RTM pada tahun 1966.

Menurut Johari Salleh, walaupun sudah dapat mengumpulkan sebanyak 130 lagu tetapi beliau yakin masih banyak lagi lagu-lagu ciptaannya yang boleh digunakan sebagai bahan rujukan untuk pelajar bidang muzik.

Sepanjang bekerja di rumah, beliau menghabiskan masa sehingga 12jam sehari dan setiap lagu yang berjaya dijejaki digubah semula dalam bentuk vokal dan piano score kerana ini akan memudahkan pelajar piano gred tiga dan keatas memainkan lagu tersebut.

“Setiap lagu, saya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan piano score sebanyak empat muka. Saya akan menyerahkan 130 lagu-lagu ciptaan saya ini untuk diterbitkan sebanyak empat buku kepada pihak UKM. Mungkin buku itu boleh dinamakan Koleksi Lagu-Lagu Ciptaan Johari Salleh, insyaa-Allah,” kata Johari Salleh penuh harapan.

Selain mencipta lagu-lagu komersial nyanyian Allahyarham Tan Sri S.M Salim (Kong Kong Kak – 1978) kemudian dirakamkan semula oleh Datuk Yasmin Yusof (Tom Tom Bak – 1979), Johari Salleh pernah mencipta lagu patriotik “Selamat Pergi Pahlawanku” nyanyian Fazidah Joned.

Lagu ciptaannya dengan lirik oleh Johar Bahar dirakamkan pada tahun 1964 sebagai memberi semangat kepada perajurit yang bertugas di sempadan pada zaman konfrontasi.

“Sehingga hari ini lagu tersebut sering menjadi pilihan pertandingan koir ataupun pertandingan lagu-lagu patriotik,” kata Johari.

Meskipun telah mencipta pelbagai genre lagu, namun bagi Johari Salleh lagu “Gadis dan Bunga” lagu dan lirik oleh beliau merupakan kemuncak kerjayanya.

“Gadis dan Bunga” yang dirakamkan pada tahun 1983 telah mengatasi populariti lagu-lagu ciptaannya sebelum ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here