FAM tutup pintu buat Kalonda, bukti dokumennya tidak sahih

0
671
MARCEL KASONGO KALONDA

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

TIADA tempat buat seorang lagi ‘Awang Afrika’, Marcel Kasongo Kalonda untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati bukti dokumen penting yang mendakwa dia mempunyai darah campuran Malaysia, tidak sahih.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, dokumen yang diserahkan bek tengah kelahiran Kolwezi, Congo dan kini mewakili Zesco United FC dalam Liga Super Zambia itu telah dirujuk dan disemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan.

“FAM hari ini ingin memaklumkan bahawa satu dokumen penting yang dikemukakan Kalonda, 22, dari Congo yang mendakwa mempunyai darah campuran Malaysia, tidak sahih selepas semakan dibuat dengan JPN,” katanya dalam siaran media hari ini (7 Julai)

Jelas Stuart, semalam FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN yang memaklumkan bahawa satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

“Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya.

“FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan kami tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan,” katanya.

Sayap kanan Pahang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya pertama dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober 2018.

Tegas Stuart, menjadi tanggungjawab FAM selepas mendapat sesuatu maklumat untuk mengambil langkah susulan dengan melakukan siasatan, penelitian dan pengesahan sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi.

Atas sebab tersebut katanya, FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Kalonda sebelum ini biarpun banyak pihak terutama warganet dan peminat tampak terlalu ghairah dan teruja menularkan berita mengenai seorang pemain warga asing yang mendakwa berdarah campuran Malaysia.

“Janganlah terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita berkenaan kerana perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu untuk pemain itu dipertimbangkan menyarung jersi Harimau Malaya.

“Selepas cerita Kalonda heboh diperkatakan dalam media sosial dan disusuli pula laporan berita yang memetik Kalonda yang mendakwa bapa dan datuknya berasal dari Sabah, langkah pertama diambil FAM ialah menghubunginya bagi mendapatkan pengesahan daripadanya.

“FAM memaklumkan Kalonda mengenai syarat kelayakan pemain untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia di bawah peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan memberikan senarai semakan untuknya menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan kepada FAM bagi tujuan pengesahan dan penelitian kesahihannya.

“Setelah menerima dokumen-dokumen lengkap yang diperlukan itu daripada Kalonda, FAM mengambil langkah seterusnya iaitu menghubungi pula pihak-pihak berkenaan bagi mendapatkan kesahihan terhadap dokumen-dokumen yang diterima.

“Langkah itu termasuk menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak Congo (Fecofoot) dan wakil konsulat Congo di Malaysia serta berhubung dengan JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan,” katanya.

Stuart selain itu memberi amaran tegas kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here