Arab Saudi buka hospital unta terbesar dunia

0
407

HEBAT… Sebagai sebuah negara yang memiliki lebih sejuta ekor unta, Arab Saudi pada 5 Julai lalu lakar sejarah tersendiri apabila merasmikan sebuah hospital khusus untuk haiwan darat itu.

Dikenali dengan nama Hospital Veterinar Salam, premis seluas 70,000 meter persegi itu merupakan pusat perubatan khas untuk rawat unta yang sakit malah dianggap terbesar di dunia.

Gabenor Wilayah Qassim, Putera Faisal bin Mishaal dilapor media tempatan, Arab News telah melancarkan perasmian hospital yang terletak di Buraidah, 580 kilometer dari ibu kota Riyadh.

Premis moden ini yang mampu muat 4,000 ekor unta serentak juga ada fasiliti penyelidikan dan makmal canggih bagi dapat melakukan diagnosis pelbagai penyakit berkaitan mamalia tersebut.

Projek hospital bernilai 100 juta riyal (kira-kira RM114 juta) itu berupaya buat kajian lebih 160 jenis analisis kes dan juga dianggap antara mercu tanda pencapaian kebangsaan Arab Saudi.

Putera Faisal yang dibawa tinjau sekitar kompleks berkenaan turut luah rasa bangga dengan kewujudan hospital itu sambil diberi taklimat mengenai kemudahaan terbaik disediakan di situ.

Selain dilengkapi unit rawatan rapi untuk rawat kes serius, hospital berkenaan juga dilengkapi unit imbasan dan dewan pembedahan selain wad khas bagi anak unta yang baru dilahirkan.

Sejak 2017, Arab Saudi menganjurkan festival tahunan unta terbesar di dunia tidak jauh dari Riyadh dengan himpun lebih 30,000 ekor haiwan ini di tapak gurun seluas 30 juta meter persegi.

Pelbagai acara menarik diadakan kerajaan negara itu termasuk pertandingan unta paling cantik dan perlumbaan unta terpantas yang tawar hadiah lumayan jutaan riyal kepada para pemenang.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here