OPR : Ringgit dijangka cecah 4.35 pada akhir 2020 – RHB Investment

0
414

KUALA LUMPUR — RHB Investment Bank Bhd menjangkakan ringgit diniagakan pada paras 4.35 berbanding dolar AS menjelang akhir 2020 susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) lagi kepada 1.75 peratus, semalam.

Bank pusat berkenaan telah melaksanakan pengurangan OPR sebanyak empat kali berjumlah 125bps sejak awal tahun ini.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Ahli Ekonomi RHB Investment Bank Bhd Ahmad Nazmi Idrus berkata langkah bank pusat itu sepatutnya kurang memberi tekanan kepada ringgit untuk terus mengukuh.

“Selain itu, risiko kemungkinan berlakunya gelombang kedua jangkita COVID-19 kekal tinggi sepertimana yang dialami banyak negara lain.

“Jika itu benar-benar berlaku, kita mungkin menyaksikan pengukuhan dolar AS kerana pelabur lebih memilih aset yang lebih cair,” katanya.

Namun, Ahmad Nazmi berkata ringgit telah menokok sedikit kepada 4.29 berbanding dolar AS pada Jun 2020 berbanding 4.35 dalam bulan sebelumnya.

“Ringgit dapat mengatasi kerugian sebelum ini susulan peningkatan sentimen selepas ekonomi dibuka semula selain kelemahan yang dialami dolar AS,” katanya.

Mengulas rizab antarabangsa BNM yang berjumlah US$103.4 bilion setakat 30 Jun, 2020 berbanding US$102.9 bilion pada 29 Mei, 2020, beliau berkata peningkatan itu masih berlaku walaupun sebahagian besar daripada peningkatan nisbah liputan import itu berpunca daripada penyusutan permintaan berkaitan.

“Pengukuhan ringgit juga sebahagiannya disebabkan oleh pertambahan jangkitan COVID-19, khususnya di AS manakala keadaan di sini sebaliknya semakin baik,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan ringgit dijangka berterusan walaupun keadaan ekonomi sebaliknya kekal tidak menentu.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit diniagakan rendah pada 4.2800/2860 berbanding dolar AS daripada paras 4.2750/2800, semalam.

– BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here