Warga asing: Mampukah pihak berkuasa kotakan kata?

0
407

Oleh Arrazaq Nazri

KLANG — Kebelakangan ini, laporan mengenai warga asing yang berniaga tanpa lesen di Klang Selangor menyebabkan ada pihak tertentu mula berasa panas.

Isu tersebut bukan sahaja tular di media sosial, malahan menjadi bahan perdebatan di media sosial terutama di Facebook.

Memetik, laporan sebuah media tempatan 17 Jun lalu menyebut, pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang memberi fokus untuk melakukan operasi di lapan kawasan yang dikenal pasti menjadi hotspot warga asing menjalankan perniagaan.

Yang Dipertuanya, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, antara kawasan terlibat adalah sekitar Kampung Jawa, Pulau Indah, Telok Gong, Meru, Rantau Panjang, Kapar, Kampung Delek dan Sungai Udang.

MPK katanya juga, akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang menyewakan premis perniagaan kepada warga asing.

Namun minggu lalu beberapa NGO telah melakukan tinjauan untuk memastikan tindakan tersebut telah diambil oleh pihak MPK.

Namun malangnya di satu kawasan di bandar Klang yang dikunjungi pihak NGO terbabit masih belum diserbu oleh pihak berkuasa, memandangkan terdapat kegiatan peniaga warga asing yang dilihat masih berleluasa.

Lebih mengejutkan, selain kedai-kedai telekomunikasi dikuasai warga asing terdapat kedai arak dibuka lengkap dengan pelayan wanita, beroperasi di waktu tengahari di kawasan bandar Klang.

Apa yang mengejutkan, pada 5 Jun lalu, Kerajaan Selangor telah meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 2007 bagi melarang mana-mana warga asing berniaga di negeri ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail berkata, penetapan dasar itu dibuat berikutan beberapa perkara di dalam UUK Penjaja 2007 sedia ada dilihat perlu ditambah baik demi kepentingan semua pihak.

Beliau berkata, menerusi pindaan itu, kerajaan negeri akan membuat penyelarasan melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berkaitan dengan syarat lesen penjaja.

Jika begini kaedahnya sudah pasti warga asing tidak dibenarkan sama sekali berniaga di negeri ini dan realitinya cukup berbeza dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sewajarnya undang-undang tersebut dikuatkuasakan dan bukannya dipetisejukkan sehingga ada keperluan untuk ia digunakan satu hari nanti.

Wakil NGO, Pertubuhan Integriti Nasional (PIN), Mohd.Azhar Osman ketika ditemui di sini semasa tinjauan di sekitar bandar Klang dan Pelabuhan Klang berasa kecewa kerana perlaksanaan undang undang terbabit seakan tidak tegas.

Katanya, bandar Klang sudah menjadi seperti negara asing kerana yang berniaga bukan orang tempatan seperti dulu.

Mohd.Azhar berharap tindakan sita seperti di Bandar Sultan Sulaiman dan Kampung Jawa dilakukan di kawasan lain di Klang tanpa lengah-lengah lagi.

Sewajarnya pada saat kita masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pihak berkuasa tempatan di negeri lain mewujudkan undang-undang sama bagi memastikan kepentingan rakyat tempatan dilindungi.

Kita tidak mahu orang asing mendominasi bidang perniagaan yang mana rakyat kita mampu lakukan seperti berniaga kedai runcit, membasuh kereta dan menjual tambah nilai telefon.

Tepuk dada tanya niat, adakah pihak berkuasa tempatan ingin berkhidmat untuk warga negara yang membayar cukai pintu dan cukai pendapatan atau ingin membiarkan warga asing terus bermaharajalela berniaga tanpa lesen atau menyewa lesen dari warga tempatan selama-lamanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here