[SELAK] Politikus usah heret rakyat ‘berperang’

1
288

Wahai orang politik jangan seperti batu api, hentikanlah tindak-tanduk berunsur ugutan. Penerimaan orang pelbagai. Mungkin yang melihat seperti air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya. Berhati-hatilah supaya tidak melampau.

ADA yang seperti cacing kepanasan apabila UMNO dan Pas bersetuju membentuk kerjasama perpaduan ummah. Lebih gelabah, kesan kerjasama itu apabila Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. Ada juga pihak yang seolah-olah seperti ‘cacing gila’ lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan bahawa MCA dan MIC kekal bersama BN. Hasrat mereka ingin melihat UMNO dan Pas bersendirian setelah membentuk kerjasama, sementara BN pula berkubur dengan tindakan MCA dan MIC menarik diri daripada gabungan itu. Bagaimanapun harapan untuk melihat kekalutan BN itu tidak kesampaian.

MCA dan MIC kekal bersama BN. Maka tidak hairanlah apabila dua pemimpin utama DAP tiba-tiba ‘melompat’ mengeluarkan kenyataan yang akhirnya mencetuskan kontroversi. Kenyataan yang dianggap provokasi itu dilihat cuba menakut-nakutkan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Bukan Melayu dan Melayu beragama Islam cuba dipengaruhi supaya bimbang dengan masa depan Malaysia. Kenyataan itu yang turut disokong atau dipertahan beberapa pemimpin sekutu DAP mendapat tindak balas atau reaksi yang mengecam. Pelik apabila penyatuan ummah dianggap sebagai ‘ancaman’. Akhirnya di merata tempat, banyak laporan polis dibuat.

Menyelak kembali keresahan yang timbul akibat perpaduan ummah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi gambaran orang bukan Melayu akan ‘diperangi’ hasil kerjasama UMNO-Pas. Kenyataan itu kemudian cuba dilunakkan. Tidak cukup dengan kenyataan itu, Timbalan Setiausaha Agung, Ngar Kor Meng pula muncul dengan kenyataan yang mendakwa bahawa Malaysia bakal menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban jika gabungan UMNO dan Pas memerintah negara. Kononnya rakyat akan menderita dan tidak boleh lagi berpatah balik sekiranya kedua-dua parti yang mengumumkan kerjasama mereka secara rasmi itu berjaya memegang tampuk pemerintahan negara ini.

Adakah selama ini Kelantan yang diperintah oleh Pas, rakyat negeri itu dalam keadaan menderita dan bukan Islam tidak dapat hidup dengan baik? Kor Meng kemudiannya menafikan mengeluarkan kenyataan seumpama itu tetapi ‘kerosakan’ sebenarnya sudah berlaku. Pandangannya itu turut disokong oleh anggota DAP lain. Dalam hal ini, siapa yang harus dipercayai? Apabila diselak kembali ‘rekod’ pelbagai ucapan dan kenyataan beliau sebelum ini (sebagai pembangkang), maka ramai yang tidak terkejut dengan ‘kenyataan’ berkaitan Taliban itu sama ada ia benar atau sebaliknya. Ucapan dan kritikannya selama ini diakui hebat.

Sikap atau mentaliti pembangkang masih tidak dapat dipisahkan walaupun sudah bergelar kerajaan dengan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Peranan sebagai kerajaan amat besar dan mencabar. Amat tidak wajar pemimpin kerajaan dalam sebuah negara pelbagai kaum mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Kenyataan itu boleh dianggap provokasi, menyakitkan hati, berunsur hasutan, mengapi-apikan perkauman sempit, menakut-nakutkan orang yang akhirnya boleh menimbulkan perbalahan dan keresahan. Ada pemimpin yang pandai menasihat orang lain supaya tidak bercakap sesuatu yang menyakitkan hati tetapi mereka sendiri melakukannya. Maknanya mereka sahaja yang betul. Mereka boleh menyakiti tetapi tidak boleh disakiti.

Apakah mereka yang sudah bergelar kerajaan ini masih selesa dengan rentak sebagai pembangkang? Lihat sahaja gelagat di Dewan Rakyat. Ada wakil rakyat bercakap ikut suka tanpa fakta, asyik menyalahkan pihak itu dan ini, mengeluarkan tuduhan liar, menggunakan perkataan tidak sewajarnya, hilang sabar dan pelbagai lagi. Adakah kekebalan mereka di dalam Dewan Rakyat perlu dijadikan lesen besar untuk bercakap ikut suka dengan pelbagai tuduhan dan andaian? Gelagat mereka sedang diperhati oleh rakyat dan ingatlah tidak semua yang boleh menerima tindak tanduk itu. Adakah ini sesuatu yang demokratik apabila mereka bercakap tanpa fakta?

Pihak kerajaan boleh mendakwa bahawa tujuan UMNO dan Pas membentuk kerjasama perpaduan adalah bermotifkan politik termasuk untuk memenangi pilihan raya. Tetapi tidak perlu melancarkan provokasi yang hakikatnya juga bertujuan politik. Setiap parti ada matlamatnya termasuk untuk berkuasa. Maka masing-masing ada kaedahnya. Adakah parti politik yang ditubuhkan tidak mempunyai kepentingan politik? Nama pun parti politik. Adakah selama ini hubungan politik DAP, PKR, Bersatu dan Amanah tidak bermotifkan politik? Adakah sebelum ini kerjasama DAP dan Pas untuk menumbangkan BN juga tidak bermotifkan politik?

Hakikatnya keresahan musuh UMNO dan Pas adalah disebabkan rasa cemburu, cemas, umpama takut bayang-bayang apabila kerjasama itu terjalin. Jika kerjasama itu dianggap tidak memberi kesan, maka tidak perlulah mengeluarkan kenyataan dengan pelbagai label yang menjengkelkan. Masa masih panjang. Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Semua orang telah menyaksikan pelbagai keajaiban politik di negara ini. Justeru, tunggu dan lihat sama ada kerjasama UMNO dan Pas berhasil atau tersekat di pertengahan jalan. Dalam situasi ini, tukang adu domba, batu api, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, musang berbulu ayam dan macam-macam lagi akan muncul.

Jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Begitu juga musuh UMNO dan Pas. Mereka tidak akan berdiam diri. Adat parti politik akan mencari kelemahan musuh mereka. Amat jarang musuh yang boleh memudaratkan akan dibiarkan menyusun strategi untuk melakukan tindak balas. Jika mereka berpeluang mengoyak kerjasama atau perpaduan, maka mereka akan lakukan kerana kepentingan parti masing-masing.

Kadang-kadang ada orang politik yang sentiasa berusaha menegakkan benang yang basah. Yang buruk dikatakan baik dan yang baik itu dikatakan buruk. Yang ada dikatakan tiada dan yang tiada dikatakan ada.

Hakikatnya parti politik yang mengisytiharkan ‘perang’ sesama mereka. Maka jangan mengheret rakyat ke dalam kancah ‘peperangan’ itu. Wahai orang politik hentikanlah tindak-tanduk berunsur ugutan atau batu api. Penerimaan orang pelbagai. Mungkin yang melihat seperti air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya. Ingatlah musuh sama ada dari dalam atau luar akan sentiasa menangguk di air keruh. Jangan mengundang penangguk itu. Justeru, berhati-hatilah mengeluarkan kenyataan supaya tidak melampau.

Kepada DAP pula selamat menyambut ulang tahun parti yang ke-53 pada 18 Mac ini. Sambutan kali ini amat bermakna kerana ‘roket’ berjaya mendarat di Putrajaya setelah menunggu terlalu lama sejak menyertai PRU pada tahun 1969. Kejayaan itu membuktikan kerjasama yang baik dengan parti-parti berasaskan orang Melayu dan pelbagai kaum. DAP tidak ke mana-mana tanpa sokongan PKR, Amanah dan Bersatu yang kebanyakan pemimpinnya adalah Melayu asal UMNO dan Pas. Kerjasama seumpama ini juga yang diamalkan oleh Perikatan dan kemudiannya BN. Namun akhirnya BN tumbang dan kini cuba bangkit kembali.

Sama seperti parti lain yang tumbang, mereka harus bangun dengan formula atau resipi sendiri. Biarlah parti berkenaan dengan formula atau resipi masing-masing. Terserahlah kepada ‘tukang masak’ UMNO dan Pas sama ada kepala ikan dimasak kari, asam pedas atau apa sahaja untuk dihidangkan. Tidak perlu musuh mencemburui atau meragui formula perpaduan parti orang Melayu Islam itu sehingga cuba mencari jalan untuk ‘mengoyak’ pakaian yang sedang ditenun itu.

— BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here