Gelaran Datuk, kalau rezeki jangan ditolak – Shuib Sepahtu

0
590
Shuib Sepahtu antara ahli perniagaan yang berjaya dengan jenama Bubble Bee Malaysia.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PERKARA belum berlaku tapi macam-macam hal sudah diperkatakan oleh netizen.

Rata-rata berpendapat yang pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib Sepahtu belum layak untuk dianugerahkan gelaran Datuk.

Ramai yang mempersoal apa sumbangan Shuib kepada negara dan sebagainya berbanding orang lain yang banyak berkorban dan menjulang nama Malaysia.

Shuib yang ditemui pada majlis pembukaan kedai Bubble Bee Malaysia di Sentul berkata, beliau tidak berani untuk mengulas apa yang diperkatakan orang ramai perihal dirinya yang ditawar gelaran Datuk dari sebuah negeri.

“Saya sebenarnya takut nak jawab soalan ini sebab bila keluar berita, ramai betul yang komen, banyak negatif daripada positif. Jadi saya tak nak mengatakan apa-apa, kalau ada rezeki tu, insya-Allah. Saya ni kadang-kadang banyak benda yang saya reda dan serah kepada Allah.

Shuib (dua dari kiri) hadir memeriahkan pembukaan kedai Bubble Bee di Sentul.

“Mungkin sebab saya ni orang Banjar dan budak kampung, saya tahu diri saya. Mungkin dari situ orang rasa saya tak berkelayakan lagi untuk gelaran itu. Mungkin la kot, saya jadi sedar diri. Saya tetap teruskan kehidupan seperti biasa, buat kerja untuk industri dan bisnes saya.

“Kalau ada betul terjadi perkara itu, ialah orang cakap kalau rezeki jangan ditolak, malang jangan dicari. Wallahualam. Saya tak boleh sebut dari negeri mana,” katanya yang masih berteka-teki sama ada terima atau sebaliknya.

Jelas Shuib, beliau tidak arif tentang pemberian anugerah Datuk dan apa keperluan gelaran tersebut. Namun dalam tempoh melakukan perniagaan, baik Bee Factory atau Bubble Bee Malaysia, beliau telah bertemu dengan ramai orang berpangkat.

“Saya tak pandai bab-bab Datuk ni. Saya orang kampung, saya ni orang Banjar je pun. Boleh tengok video, rumah saya kecil saja, tapi Allah bagi rezeki saya. Allah naikkan level saya sampai ke tahap ini.

“Alhamdulillah, sebelum ini pun saya banyak berjumpa dengan Datuk, Datuk Seri, mereka yang cakap kat saya, dalam bisnes, kadang-kadang bila kita datang pun kita dah menang. Saya tanya balik, macam mana tu? Datang tiba-tiba nak menang?

“Rupa-rupanya, bila kita ada tittle dah jadi lain, saya cakap oh ya… ke? Saya ni tak tahu, oh itu budaya dalam bisnes ke? Saya tanya balik. Itu yang disampaikan kepada saya. Bila orang tanya, saya pun cakaplah macam tu. Mungkin pada pandangan mereka, bila ada tittle tu senang sikit buat bisnes. Orang ajar saya macam tu.

“Saya tak pandai. Dalam bisnes ni, banyak lagi yang saya perlu belajar kerana saya banyak kekurangan. Bila Allah izinkan dan hantar orang pandai kepada saya, pandailah saya,” katanya.

Sebagai ahli perniagaan yang berwawasan, Shuib mahu menjadikan Bubble Bee, jenama tempatan ke luar negara seperti di Singapura, Brunei, Indonesia dan Taiwan.

“Alhamdulillah, atas apa yang berlaku semuanya bukan kerana perancangan atau populariti saya atau sebab saya pandai. Bagi saya semua itu atas izin Allah. Saya dah banyak buat bisnes, hampir lapan tahun. Lima tahun yang gelap. Bisnes saya tak menjadi.

“Baru-baru ni saya check rupa-rupanya saya ada 13 syarikat untuk bisnes lama, banyaknya bisnes saya tak jadi. Tapi saya percaya sebab saya selalu cakap, rezeki Allah ni bila sampai, sampailah. Kalau Dia cakap belum sampai, buatlah macam mana pun ia tak akan jadi selagi Allah tak izinkan. Saya pegang pada ungkapan itu,” katanya yang yakin dengan ketentuan Tuhan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here