BOIKOT… Sejumlah besar rangkaian pasar raya Britain dilapor telah bertindak mengecualikan kesemua produk Thailand yang berasaskan daripada kelapa untuk dijual di premis mereka.

Tindakan tegas boikot berkenaan dilakukan setelah terbongkar laporan bahawa Thailand selama ini eksploitasi kera sebagai buruh paksa di ladang negara itu untuk petik buah tropika tersebut.

Memetik laporan penyelidikan sebuah organisasi kebajikan haiwan dikenali sebagai PETA Asia, spesies primat itu malah turut dikerah berlatih bagi panjat pokok kelapa dan kupas kulit buahnya.

Pengusaha ladang kelapa komersial terbabit dipercayai berjaya menghasilkan pelbagai produk hiliran berkualiti tinggi untuk dieksport ke Barat termasuk berbentuk santan, tepung dan minyak.

Setakat ini, jaringan pasar raya Waitrose, Ocado, Co-op dan Boots telah menarik balik produk Thailand itu, manakala Sainsbury’s dan Asda pula bakal berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Kami berharap agar pembekal patuhi standard pengeluaran sepanjang masa dan tidak tolak ansur sebarang jenis salah guna haiwan dalam rantaian bekalan,” kata salah satu peruncit itu.

Tidak ketinggalan ialah Tesco dan Morrison’s yang sudah beri jaminan bahawa semua barangan berasaskan kelapa dihasilkan itu bebas tanpa penggunaan secara paksa buruh daripada kera.

“Kami tidak berkompromi dengan amalan kejam ini dan akan mengecualikan produk yang guna buruh kera sedemikian daripada rak penjualan kami,” jelas seorang jurucakap Tesco Britain.

Menurut PETA Asia dipetik media Britain, beberapa petani kelapa yang disiasat mengaku kera digunakan hasil produk jenama Aroy-D dan Chaokoh, dua pengeluar santan utama Thailand.

Hasil siasatan badan amal itu mendapati bahawa kera jantan tersebut diculik sejak usia kecil dari induknya di hutan secara haram sebelum dirantai dan dilatih bekerja di ladang kelapa tertentu.

Haiwan mamalia ini dikerah mengutip sehingga 1,000 biji buah berkenaan setiap hari berbanding keupayaan manusia normal hanya 80 biji serta dikurung di kandang sempit yang agak kotor.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here