Surau tampung permintaan solat Jumaat

0
606

HARI ini sudah tentu ramai yang sedang memikirkan di mana untuk solat Jumaat esok, 10 Julai 2020. Mereka terutama warga pencen, yang tidak bekerja atau sepenuh masa duduk di rumah tercari-cari masjid mana yang akan menerima kehadiran mereka kerana had yang ada tidak mampu menampung jemaah.

Jika minggu lepas, melalui online, mereka sudah dijemput atau tersenarai, maka minggu ini terpaksa mengalah bagi memberi laluan kepada orang lain pula. Kecuali mereka terus memohon dan diluluskan atau mencari masjid lain yang berhampiran yang mungkin masih mempunyai ruang.

Walaupun ada negeri yang tidak ada masalah tetapi kebanyakan tempat masih terhad. Bilangan jemaah dihadkan sama ada jumlahnya dinyatakan secara tetap, mengikut kapasiti dewan solat utama atau masjid atau seluruh kawasan masjid. Syarat penjarakan sosial menyebabkan tempat terhad.

Pelbagai kaedah digunakan sama ada siapa cepat dia dapat (walk in) atau tempahan melalui online. Persoalannya, sampai bila situasi ini akan berterusan?

Justeru langkah kerajaan negeri Perak membenarkan surau melaksanakan solat Jumaat akan memberi kelegaan kepada lebih ramai lelaki Islam di negeri itu.
Walaupun jumlah jemaah tidak seramai di masjid disebabkan keluasan surau terhad, tetapi surau sebagai langkah alternatif atau ‘penyelamat’.

Surau juga mungkin lebih mampu ‘mendidik’ dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Kadang-kadang jumlah yang kecil lebih mudah untuk ‘mendidik’ jemaah mematuhi SOP sedangkan jumlah yang besar sukar dikawal lebih-lebih lagi sikap jemaah yang tidak mempunyai kawalan kendiri.

Tetapi di surau, mungkin jemaahnya sekitar 50 hingga 60 orang dan ini memberi ruang SOP dapat dipatuhi sepenuhnya kecuali sikap jemaah yang degil.

Justeru keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membenarkan surau yang didaftarkan di bawah MAIPk melaksanakan solat Jumaat mulai esok, 10 Julai amat dialu-alukan. Wajar dicontohi. Surau itu termasuk di institusi pendidikan, kem tentera, berek polis, jabatan dan pejabat kerajaan.

Maknanya jemaah tidak lagi tertumpu di masjid dan surau-surau pula boleh merancang supaya tidak berlaku ‘perebutan’ jemaah.

Patuhi SOP termasuk kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia, bilangan jemaah di surau dihadkan berasaskan kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

Bagi jemaah di Perak, situasi solat Jumaat sudah berubah dengan kebenaran ini. Tidak timbul lagi alasan tiada ruang. Apa yang penting mereka pandai menyusun langkah ke mana mahu pergi. Mereka tidak perlu membuat tempahan seperti berlaku di tempat lain. Peluang kini lebih terbuka luas.

Malahan seperti kata Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berikutan kebenaran yang diberi kepada surau, tiada lagi alasan untuk cuai dan meremehkan solat Jumaat tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak. Ini tanggungjawab yang perlu disedari oleh lelaki Muslim yang wajib menunaikan solat Jumaat.

“Jangan sampai ada dalam kalangan lelaki-lelaki Muslim berasa ‘lazat’ untuk berterus-terusan meninggalkan solat Jumaat sewenang-wenangnya,” katanya.

Apa pun seperti peringatan Zamri (merujuk laporan Astro Awani), kita jangan cuai setelah masjid dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat secara berperingkat dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Antara kecuaian itu seperti sengaja tidak pergi solat Jumaat walaupun nama tersenarai dalam giliran; dan sengaja memberikan giliran solat Jumaat kepada orang lain sedangkan tiada keuzuran syarak untuk dirinya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, lagi kecuaian itu termasuk tidak berusaha memaklumkan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid jika nama sudah berminggu-minggu tidak tersenarai untuk solat Jumaat.

“Kewajipan AJK kariah masjid memastikan surau di bawah naungan masjid berkenaan berusaha menampung jemaah yang tidak dapat solat Jumaat di masjid. Bukan setakat membiarkan surau memilih untuk melaksanakan solat Jumaat atau tidak, kerana maksud kebenaran itu adalah untuk membolehkan semua lelaki muslim solat Jumaat setiap minggu,” katanya lagi.

Semoga ada terus ada perkembangan terkini di tempat lain menjelang solat Jumaat esok. Sama ada jemaah ditambah atau surau diizinkan.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here