JDT kembali mengaum di arena ACL 17 Oktober

0
441
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) @ Harimau Selatan, wakil tunggal Malaysia dalam ACL 2020.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

KESEMUA baki perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara Asia (ACL) 2020 akan dijalankan di venue berpusat mulai 14 September ini manakala yang melibatkan wakil tunggal Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kumpulan G, disambung semula pada 17 Oktober.

Pindaan itu diputuskan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas siri perbincangan dengan negara-negara ahli gabungannya mengenai kalendar pertandingan 2020 yang dipinda ekoran penularan pandemik maut Covid-19 dan sekatan pergerakan umum di benua ini.

ACL 2020 yang tertangguh sejak Mac lalu, masih mengekalkan format dua perlawanan peringkat awal yang masih cuba dihabiskan dalam tahun ini juga namun bukan lagi di venue milik keempat-empat pasukan setiap kumpulan.

JDT sudah mengharungi dua perlawanan Kumpulan G dengan dibelasah Vissel Kobe dari Jepun 5-1 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru tanggal 3 Mac lalu.

Satu lagi lawan Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora, pendahului Liga Super yang tertangguh sejak 16 Mac lalu, dalam Kumpulan G ACL ialah Guangzhou Evergrande (China) yang akan ditentangnya pada 17 Oktober ini.

“Kalendar baharu pertandingan AFC ini diputuskan selepas perbincangan di Kuala Lumpur, Doha, Dubai and Delhi pada Februari dan Mac lalu serta diteruskan secara atas talian sejak itu dengan negara-negara ahli gabungan, liga-liga dan kelab-kelab,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John dalam siaran media hari ini.

Dalam pindaan kalendar itu katanya, pusingan kalah singkir ACL (dan Piala AFC) yang meliputi pusingan kedua, suku akhir dan separuh akhir hinggalah perlawanan akhir pula hanya akan mengandungi satu perlawanan berbanding jadual sebelumnya, secara timbal balik.

“Terima kasih kepada semua pemegang taruh kami termasuk ahli gabungan, liga-liga, kelab-kelab di samping rakan komersial dan penyiaran kami atas persefahaman, kesabaran dan kesetiaan di samping keazaman kepada bola sepak Asia sepanjang masa-masa sukar dan tidak menentu ini dalam sejarah sukan kita.

WINDSOR PAUL JOHN

“Meskipun dalam masa sesukar ini, saya gembira kerana kita melihat banyak kemajuan yang menggalakkan dengan kembalinya banyak liga tempatan ke padang yang turut membawa satu harapan bahawa kami boleh menghabiskan ACL dan Piala AFC dalam bulan-bulan akan datang,” katanya.

Jadual baharu ACL 2020 (JDT sahaja)
17 Oktober: JDT lawan Guangzhou Evergrande
23 Oktober: Suwon Samsung Bluewings lawan JDT
29 Oktober: JDT lawan Vissel Kobe
1 November: Guangzhou Evergrande lawan JDT

* Sepak mula dan venue berpusat akan ditentukan AFC.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here